Memperkasa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN melalui AI



Memperkasa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN melalui AI
Prof Dr Rusli Abdullah - Januari 4, 2025 @ 9:30am
SEBAGAI Pengerusi ASEAN, Malaysia memainkan peranan penting memperkukuh kerjasama negara Asia Tenggara. Dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan transformasi digital, Malaysia perlu memanfaatkan teknologi terkini untuk memastikan kepemimpinan efektif dan inovatif.

Teknologi kecerdasan buatan (AI) menawarkan potensi besar memperkasa peranan Malaysia, termasuk dalam pengurusan data, diplomasi, keselamatan siber dan memacu ekonomi digital.

Malaysia hakikatnya bertanggungjawab menyelaras pelbagai mesyuarat dan agenda, memastikan komunikasi lancar antara negara anggota serta menggerakkan inisiatif serantau. Maka, teknologi AI adalah pilihan patut diutamakan bagi menjayakan aktiviti diplomatik ini.

Sebagai contoh, AI boleh digunakan menganalisis dan meringkaskan dokumen mesyuarat, menjadikan penyediaan laporan lebih efisien dan tepat pada waktunya. Dengan kecekapan ini, Malaysia dapat mempercepatkan proses diplomatik dan meningkatkan produktiviti.

AI memainkan peranan penting dalam analisis data raya yang dikumpul daripada negara ASEAN. AI boleh mengesan pola dalam data ekonomi, sosial dan alam sekitar untuk membantu Malaysia mengenal pasti peluang serta cabaran pada peringkat serantau.

Contohnya, AI dapat digunakan untuk merancang inisiatif seperti memacu ekonomi digital atau menangani isu perubahan iklim secara kolektif dalam kalangan negara anggota.


Keselamatan siber menjadi isu utama dalam dunia digital semakin kompleks. Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia perlu memimpin usaha memperkukuh infrastruktur keselamatan siber di rantau ini.

Maka, teknologi AI boleh digunakan untuk mengesan ancaman siber dengan lebih cepat dan tepat serta memberikan cadangan mitigasi berkesan.

Menerusi pendekatan ini, Malaysia dapat melindungi infrastruktur digital ASEAN dan memperkukuh kepercayaan negara anggota terhadap kepemimpinan Malaysia.

Pacu ekonomi digital ASEAN

Satu lagi potensi besar teknologi AI ialah memacu ekonomi digital ASEAN. AI perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh industri seperti fintech, e-dagang dan logistik pintar.

Kerjasama antara negara ASEAN boleh digalakkan untuk menggunakan AI dalam sektor lain yang berpotensi tinggi seperti pertanian pintar dan pelancongan pintar.

Penggunaan AI dalam sektor ini bukan sahaja meningkatkan daya saing ASEAN, tetapi membuka peluang baharu dalam pasaran global berkembang pesat.

Seperkara yang tidak harus diabaikan, AI boleh dimanfaat untuk memperluas akses kepada pendidikan berkualiti di seluruh rantau ini.

Malaysia patut memimpin bagi mewujudkan platform pendidikan pintar yang menawarkan bahan pembelajaran dalam pelbagai bahasa ASEAN. AI boleh disesuaikan dengan keperluan pelajar di setiap negara anggota, memperkukuh pembangunan modal insan dan meningkatkan integrasi sosial serta budaya.

Walaupun AI menawarkan banyak peluang, terdapat beberapa cabaran perlu ditangani antaranya ialah jurang digital ketara antara negara ASEAN. Negara seperti Singapura lebih maju dalam teknologi, manakala negara seperti Laos dan Myanmar menghadapi kekangan dalam akses kepada teknologi moden.

Pelaksanaan AI memerlukan pelaburan besar dalam penyelidikan, pembangunan dan latihan. Malaysia mungkin menghadapi cabaran kewangan untuk menyediakan infrastruktur AI yang mencukupi. Kekurangan tenaga kerja mahir dalam teknologi AI juga boleh menjadi halangan melaksanakan strategi ASEAN secara efektif.

Bagaimanapun, tidak boleh dinafikan teknologi AI menawarkan peluang besar untuk memperkasa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. AI dapat meningkatkan kecekapan dalam pengurusan diplomatik, analisis data dan memacu inovasi dalam sektor keselamatan siber serta ekonomi digital.

Walaupun terdapat cabaran seperti jurang digital, kekangan kewangan dan kekurangan tenaga kerja mahir, Malaysia masih berpeluang memanfaatkan teknologi ini untuk memperkukuh kedudukannya di ASEAN.

Melalui kerjasama erat dengan negara anggota, sektor swasta dan akademik, Malaysia dapat memimpin transformasi digital mampan dan inovatif di rantau ini.

Penulis adalah Timbalan Pengerusi Kluster ICT, Majlis Profesor Negara

Ulasan