Mengaku tubuh kerajaan YDPA, tapi ingkar perintahnya?


Mengaku tubuh kerajaan YDPA, tapi ingkar perintahnya?
January 7, 2025

KUALA LUMPUR: Bekas pejuang reformasi, Mohamad Ezam Mohd Nor membidas kerajaan yang disifatkannya gagal melaksanakan perintah jelas daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Kritikan beliau itu susulan Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam mengesahkan kewujudan Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Bukankah dulu kerajaan ini mendakwa mereka adalah kerajaan Yang di-Pertuan Agong? Raja yang disinggahsana pada kewujudannya adalah Raja yang memberi titah tambahan itu.

“Mengapa sukar sangat melaksanakan perintah Raja yang sama ini? Mengapa sanggup ingkar dan derhaka? Kita semua tahu jawapannya,” ujarnya.

Beliau juga menempelak barisan kabinet sedia ada dan menyifatkan sebahagian besar mereka gagal menjalankan tugas dengan baik.

“Apa guna ada menteri buta, yang jelas dikatakan khabar angin? Ada menteri pekak, dulu memekak-mekak sokong Najib, setelah jadi menteri jadi pekak.

“Ada juga setelah jadi menteri jadi bisu. Duduk dalam Lembaga Pengampunan, sepatah pun tidak keluar menjelaskan isu!” bidasnya lagi.

Mohamad Ezam turut menyarankan supaya kabinet dibubarkan setelah perkara tersebut diperbetulkan segera ketidakadilan yang tertangguh itu.

“PM yang gagal mengawal si pekak, si buta dan si bisu ini juga eloklah berhenti. PM yang sudah hilang kawalan, terhadap si biadab yang tidak pernah mengucap menyuruh orang taubat pun PM ini tak boleh kawal sama sekali.

“Kepada yang mengaku Duta Tuhan pun dibiar menjadi menteri menjaga belia masa depan bangsa ini. Apa guna jadi Perdana Menteri!” soalnya.

Beliau yang pernah menjadi banduan di Penjara Kajang (2001-2003) menggesa kerajaan segera memindahkan Najib dari penjara ke tahanan rumah.

“Setiap saat, detik masa yang berlalu di penjara itu adalah satu kezaliman besar bagi hak seorang insan.

“Kamu pernah duduk penjara, saya pernah duduk penjara. Apakah kamu lupa harga dan sengsara bagi setiap siang dan malam di Penjara?” katanya.

Menurutnya, perkara tersebut mesti dilaksana berdasarkan titah tambahan diraja (adendum) yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari 2024.

Mohamad Ezam menegaskan bahawa keputusan mahkamah semalam tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan bertindak telus dan jujur.

Sebaliknya kata beliau, perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan surat dari Istana yang mewakili Yang di-Pertuan Agong, yang memerintahkan hukuman Najib dipindahkan ke rumah serta-merta.

“Titah itu pada Januari 2024. Hari ini Januari 2025. Maknanya ketidakadilan dan kezaliman telah berlaku ke atas seorang yang berada di dalam penjara hampir setahun!” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menekankan bahawa kuasa pengampunan adalah hak mutlak dan eksklusif Yang di-Pertuan Agong, tanpa melibatkan mana-mana individu atau institusi lain di negara ini.

“Kerajaan yang benar berdiri atas prinsip keadilan mesti bertindak segera memperbetulkan ketidakadilan yang tertangguh setahun ini. Apalagi ketua kerajaan ini adalah ketua sebuah parti yang mengatasnamakan keadilan!” tegasnya. – HARAKAHDAILY 7/1/2025

Ulasan