Mengimbau 75 tahun sejarah Natrah





Mengimbau 75 tahun sejarah Natrah
Orang Melayu merusuh di Singapura pada tahun 1950 bagi membantah isu membabitkan Natrah.
Oleh FATINI YAAKOB
5 Januari 2025, 6:30 am


Sejarah Natrah ini adalah kisah seorang anak kecil Belanda, bernama Huberdina Maria Hertogh @ Bertha yang dijadikan anak angkat oleh ibu Melayu bernama Che Aminah.

Natrah anak malang ini menjadi subjek penting kes mahkamah kerana tuntutan hak penjagaannya daripada ibu kandung Belandanya bernama Adeline Hunter dengan Che Aminah pada tahun 1950 di Singapura.

Kes mahkamahnya menjadi lebih gempar apabila berlaku rusuhan digelar Singapore Riots1950. Rusuhan ini berlaku gara-gara provokasi akhbar pro penjajah seolah-olah meraikan kemenangan mendapatkansemula Natrah balik ke Belanda.

Che Aminah sebenarnya berasal daripada keturunanbangsawan – peniaga besar – berdagang kain baju sutera dan emas di Singapura, bukan pembantu rumah sebagai mana tulisan akhbar-akhbar Barat.

Suami pertamanya orang Perak bernama Che Abdul Ghani. Che Aminah pernah ikut suaminya itu berkerja di Jepun dan membawa balik seorang anak angkat Jepun bernama Kamariah. Che Aminah boleh bertutur bahasa Jepun dengan fasih.

Setelah kematian suami pertama, beliau berkahwin dengan Maarof peniaga emas yang berasal daripada Bandung.

Di Bandunglah Che Aminah berkenalan dengan nenek (Louise Hunter) dan ibu kandung Natrah (Adeline). Natrah masih kecil ketika itu, baru berumur lima tahun.

Semasa penjajahan Jepun di Indonesia dan Tanah Melayu, Che Aminah yang pandai berbahasa Jepun menjaga keluarga Natrah daripada dibunuh Jepun.

Kerana terhutang budi mereka memberikan Natrah sebagai anak angkat kepada Che Aminah. Che Aminah membawa Natrah balik ke Kemaman Terengganu pada tahun 1947.

Nama Belandanya bertukar kepada nama Melayu – Nadra oleh Che Aminah. Natrah hidup dalam budaya Melayu dan bahasa Melayu pelat Indonesia/Terengganu. Boleh solat dan boleh membaca surah-surah pendek al-Quran.

Apabila Residen Inggeris melihatnya, beliau terus berjumpa Che Aminah meminta beliau membawanya ke Singapura. Ketika dibawa ke Singapura, Natrah adalah gadis sunti berumur 13 tahun.

Tiba di Singapura, Konsul General Belanda (KGB) menyaman Che Aminah kerana pemilikan Natrah tanpa surat rasmi daripada ibu bapanya.

Semasa tunggu kes mahkamah dibicarakan, Natrah ditempatkan di Girl’s Home Craft Centre (GHC), York Hill, Singapura. Di sinilah Natrah bertemu Mansor Adabi berumur22 tahun, anak sahabat baik Che Aminah Che Wok, yang sedang berkursus guru. Di GHC inilah Mansor dan Natrah berkenalan dan hampir setiap hari Mansor memberikan tution sekolah secara peribadi kepada Natrah.

Ketika kes hak penjagaan anak didengar di mahkamah, Che Aminah menang kes ini secara teknikal. KGB juga tidak dapat menyediakan kertas rasmi hak penjagaan Natrah.

Natrah dikembalikan kepada Che Aminah. Oleh kerana memikirkan masa depan Natrah, tanpa berfikir panjang Che Aminah menikahkan Natrah dengan Mansor Adabi.

Gambar pernikahan mereka tersebar hingga ke Belanda. Kedua ibu bapanya menyaman Che Aminah dan Mansor ataskes hak penjagaan anak buat kali kedua. Kes mahkamah berlangsung selama hampir sebulan pada November 1950.

Pada 2 Disember 1950, hakim Justice Brown membuat keputusan membatalkan pernikahan sah mereka dan menyerah semula Natrah kepada domisil bapanya di Belanda.

Rayuan dibuat oleh peguam Mansor dan Che Aminah. Sementara menunggu kes rayuan Natrah ditempatkan di gereja Good Shepperd di Singapura. Semasa inilah akhbar-akhbar propenjajah memainkan provokasi kemenangan mereka.

Mereka menyiarkan gambar-gambar Natrah kembali menjadi budak kecil – berskirt, rambut berikat dua bermain piano, domino sambil bergelak suka. Berita kecil tanpa gambar daripada akhbar Singapore Standard – Bertha knelt before Virgin Mary statue! umpama bom kepada orang Melayu.

Akhbar Utusan Melayu masuk ke gereja mencari kebenaran. Esoknya berita muka depan Utusan Melayu “Nadra menangis…derita sengsara di gereja”.

Orang Melayu gempar! Inggeris sudah melampau! Orang Melayu yang ramai yang datang dari seantero Tanah Melayu, yang masih ada di Masjid Sultan, berarak beramai-ramai membawa sepanduk meminta dikeluarkan Natrah daripada gereja.

Pada masa rayuan di dengar pada 11 Dis 1950, gerombolan perusuh membalas dendam kepada Inggeris. Kereta ditahan, mat saleh ditarik keluar dan dibantai, kereta diterbalikkan dan dibakar.

Darurat Singapura tiga hari tiga malam. Tidak pernah seganas ini bangsa Melayu terhadap penjajah! Bangsa yang selama ini digelar penjajah Inggeris sebagai bodoh, malas dan miskin, bangkit membela maruah diri.

Direkodkan 18 orang meninggal dunia, 200 lebih cedera. Jelaslah ini adalah amaran keras pada penjajah yang menghina agama dan maruah bangsaMelayu.

 Minggu hadapan kisah perjalanan wartawan mencari Natrah.

Ulasan