Pelik terpaksa mohon Pusat untuk guna wang sendiri



Pelik terpaksa mohon Pusat untuk guna wang sendiri
January 9, 2025

Dr Azman Ibrahim

BESUT: Kerajaan Terengganu menggunakan pendekatan berunding bagi mendapatkan hak royalti petroleum daripada Kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perjuangan mendapat royalti dan usaha meningkat hasil negeri berjalan secara serentak.

Katanya rundingan dengan Kerajaan Pusat diteruskan dan sehingga sekarang wang tersebut dibayar kepada kerajaan negeri secara runcit.

“Kerajaan negeri terpaksa menghantar permohonan kepada kerajaan pusat bagi mendapat hak kita.

“Malah ada kes di mana Kerajaan pusat hendak bayar terus kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di Terengganu menggunakan wang hasil royalti petroleum,” katanya di sini.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Julai lalu Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Samsuri Mokhtar memberitahu hasil rundingan dibuat dengan Kerajaan Persekutuan membolehkan negeri itu mendapat kelulusan wang royalti berjumlah RM792.32 juta.

Manakala 7 September lepas lebih 10,000 hadir pada program solat hajat dan munajat di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebagai usaha mendapat bayaran royalti petroleum.

Dr Azman juga berkata, biar pun kerajaan negeri tidak dinafikan berdepan kekangan kewangan, namun masih lagi di peringkat kawalan.

“Berdasar perjanjian 5 peratus royalti perlu dibayar kepada Terengganu pada Mac dan September setiap tahun.

“Sepatutnya wang royalti dibayar terus Petronas kepada negeri, namun sekarang Petronas bayar kepada perbendaharan dan kemudian perbendaharaan bayar kepada Terengganu,” ujarnya.

Menurutnya juga setiap kali hendak menggunakan wang kerajaan Terengganu kena membuat permohonan kepada Perbendaraan.

Sedangkan, kata beliau duit yang dimohon tersebut milik Terengganu. – HARAKAHDAILY 9/1/2025

Ulasan