
Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana pada 2025
EKONOMI Malaysia dijangka berkembang secara sederhana antara 4.2 hingga 4.6 peratus pada tahun ini.-GAMBAR HIASAN
Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
2 Januari 2025, 6:50 am
PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang secara sederhana antara 4.2 hingga 4.6 peratus pada tahun ini, berikutan geopolitik yang tidak stabil susulan Presiden Amerika Syarikat (AS) baharu, Donald Trump mungkin menaikkan tarif.
Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, situasi dunia dijangka berdepan dengan ketidaktentuan dalam pasaran.
“Polisi AS akan berubah apabila Trump dilantik sebagai presiden untuk penggal keduanya pada 20 Januari ini.
“Geopolitik akan beri kesan negatif keatas ekonomi dunia dan negara. Mungkin juga ekonomi dunia akan meleset pada hujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pelabur telah memberi komitmen untuk melabur dalam sektor teknologi maklumat (IT) dan pusat data di Malaysia.
“Kita doakan pelabur akan terus yakin dengan kestabilan politik dan ekonomi Malaysia,” katanya.
Jelas Mustafa, beberapa sektor dijangka berkembang pada tahun ini antaranya sektor IT, semikonduktor, minyak kelapa sawit dan pelancongan.
Sementara itu, MIDF Research pula meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan sedikit merosot kepada 4.6 peratus pada 2025 (jangkaan 2024: 4.8 peratus hingga 5.3 peratus).
MIDF Research berkata, dalam laporan unjuran 2025 menjelaskan, perbelanjaan pengguna kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, sementara pelaburan swasta turut menyumbang kepada momentum ini.
Dalam laporan unjuran 2025, keadaan pasaran buruh kekal menggalakkan dengan lebih ramai orang memasuki pasaran pekerjaan, dengan kadar penyertaan tenaga buruh berada pada tahap tinggi sebanyak 70.5 peratus setakat Oktober 2024.
“Selain daripada pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan, bantuan tunai yang berterusan daripada kerajaan, kenaikan gaji kakitangan awam, serta peningkatan ketibaan pelancong akan terus menyokong perbelanjaan pengguna pada tahun depan,” tambahnya.
Unjuran rasmi Kementerian Kewangan bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025 melepasi ramalan pertumbuhan KDNK oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk pasaran sedang membangun dan ekonomi negara membangun yang dianggarkan pada 4.2 peratus.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan