
Polis akan ambil keterangan dari Hannah Yeoh
January 8, 2025
KUALA LUMPUR: Polis telah merakam keterangan 59 individu bagi membantu siasatan berhubung kontroversi buku tulisan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh iaitu ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata setakat ini sebanyak 182 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan isu berkenaan.
“Setakat ini, seramai 59 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Keterangan Hannah Yeoh masih belum diambil, belum ada masa ditetapkan untuk merakam keterangan beliau,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), PAS dan Bersatu membuat laporan polis bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku terbitan Hannah yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.
Selain itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Mohd Hafez Sabri turut membuat laporan polis berkenaan menyusuli demonstrasi aman ‘Himpunan Bangkit Ummah’ yang diadakan di Masjid Jamek Kampung Bharu pada Jumaat lalu.
Mohd Hafez yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkata, tindakan tegas perlu dilaksanakan termasuk mengharamkan penerbitan buku berkenaan yang dijual secara terbuka di pasaran.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, tindakan Hannah itu telah melanggar ‘garis merah’ di dalam agama Islam.
“Islam adalah agama yang sangat mengutamakan keharmonian. Islam mengajar kepada umatnya berbuat baik dengan sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa dan sebagainya,” katanya.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi di sini, menolak saman fitnah difailkan Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut, terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada empat tahun lalu.
Menerusi saman difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’ dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai diri beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah menulis buku yang menjadi isu terkini tersebut iaitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara. – HARAKAHDAILY 8/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan