Sebatan dadah lagi dahsyat, adakah kes itu berkurang?


Sebatan dadah lagi dahsyat, adakah kes itu berkurang?
Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
5 Januari 2025, 7:02 am

MUKADIMAH

TERENGGANU menjadi titik permulaan dalam sejarah undang-undang syariah negara dengan melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah khalwat di luar penjara.

Walaupun kerajaan diterajui Pas mempunyai bidang kuasa melaksanakannya, namun, negeri itu tidak terlepas daripada kritikan dan kecaman banyak pihak terutama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam.

Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR berkata, salah satu elemen mendidik adalah mendatangkan malu, kerana ia sebahagian daripada iman. Selain itu, terdapat masalah dalam undang-undang syariah dan sivil dalam penggunaan istilah sebatan sehingga mengundang salah faham masyarakat.

Ikuti wawancaranya bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN; jurugambar, FARIZ RUSADIO dan juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI, di Subang Jaya, baru-baru ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Apa komen Datuk mengenai pelaksanaan hukuman sebat oleh Kerajaan Terengganu ke atas pesalah khalwat baru-baru ini?
ZAINUL RIJAL: Satu kekhilafan orang ramai adalah mereka tidak faham apa sebenarnya yang berlaku dalam pelaksanaan hukuman ini. Sebatan dijalankan di Terengganu bukan sebatan di khalayak ramai seperti yang dilaksanakan di Wilayah Acheh.

Malaysia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara menyatakan kaedah bagaimana hukuman di luar penjara dijalankan. Hanya beberapa orang yang terpilih sahaja dibenarkan menyaksikan pesalah dihukum di masjid-masjid yang diwartakan untuk melakukan sebatan.

SEBATAN SYARIAH LEBIH ‘RINGAN’
Sebatan dalam undang-undang syariah dan sivil sama?
Ramai dalam kalangan masyarakat kita juga tidak faham sehingga ada yang menggambarkan sebatan dalam perundangan syariah sama dengan sebatan dalam undang-undang sivil kerana sebatan yang diputuskan mahkamah syariah lebih ringan.

Sedangkan, sebatan sivil lebih parah sehingga seseorang dalam keadaan berbogel, disebat sehingga berdarah, malah mungkin tidak boleh bangun semula. Saya pasti kita semua ada kenangan sewaktu sekolah cikgu rotan kerana tidak membawa buku, rasa sakit kena rotan sekejap sahaja kemudian hilang. Ia tidak mencederakan.

Sebatan dalam undang-undang syariah pula bagaimana?
Di dalam Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah jelas menyatakan bagaimana sebatan ini dilakukan. Contohnya, alat sebatan tidak termasuk pemegangnya hendaklah jenis yang sama dibuat daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter, manakala tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Pesalah hendaklah diperiksa oleh pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah dalam keadaan sihat untuk menerima hukuman. Jika pesalahnya wanita hamil, maka, hukuman hendaklah ditangguh sehingga tamat tempoh dua bulan selepas melahirkan anak atau keguguran. Sebatan dilaksanakan oleh pegawai penjara menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala, tidak melukakan kulit pesalah dan tidak menarik sebat selepas mengangkatnya.

Jika sebatan syariah dilihat ringan, adakah cukup mendidik orang ramai memandangkan ia bukan satu hukuman berbentuk punitif?
Elemen mendidik perlu dilihat daripada kesaksian orang awam. Lihat bagaimana sebatan sivil yang lebih dahsyat. Adakah kes melibatkan undang-undang 39B Akta Dadah Berbahaya berkurang? Tidak.

Kes bunuh dan rogol pun masih berleluasa. Hukumannya berat tetapi (undang-undang sivil) tidak mendidik kerana orang awam tidak melihat proses hukuman ini berjalan. Sekarang di Terengganu laksana sebatan enam kali, selepas itu satu Malaysia tahu. Jadi, kita lihat hikmah di sebalik perkara ini.

PERASAAN GERUN
Maksud sebatan syariah ini mendidik dan mengurangkan kes?
Saya yakin, hukuman ini mendatangkan perasaan gerun bukan kepada beberapa individu yang terpilih menyaksikan hukuman sebatan di luar penjara, bahkan, kepada orang ramai di luar sana yang mendengar dan tahu hal ini.

Apa gerunnya jika pesalah syariah tidak merasa sakit ketika disebat?
Sakit atau tidak, ini perkara kedua. Orang awam tidak tahu bagaimana sebatan ini berlangsung. Hakikatnya, sebatan dilakukan ini sudah menggerunkan.
Cubalah tanya orang di luar sana apa perasaan mereka selepas mendengarnya? Elemen kesaksian ini amat penting untuk mendidik bukan sahaja orang yang melihat, malah yang tidak tahu tentang pelaksanaan sebatan.

IKUT JEJAK LANGKAH ACHEH
Mengapa Malaysia tidak ikut jejak langkah Acheh melaksanakan undang-undang syariah khususnya dalam sebatan?
Malaysia tidak melakukan sebatan di khalayak ramai seperti Acheh kerana menjaga sensitiviti pihak yang bersalah. Jika dilakukan secara berleluasa (khalayak ramai), semua orang akan lihat apa yang berlaku.

Maksud Datuk, Malaysia masih berlembut dalam melaksana undang-undang?
Bukan saya kata berlembut, tetapi kita masih menjaga aib pesalah. Malaysia masih beri pertimbangan.

SUHAKAM PERTIKAI KUASA NEGERI
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mempertikai pelaksanaan sebat di luar penjara. Komen?
Ini adalah bidang kuasa kerajaan negeri yang sudah membuat SOP dan tatacara jenayah syariah sama ada di tempat awam atau dalam penjara kerana ia termaktub di dalam Jadual Kesembilan, Senarai II Butiran I Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan negeri boleh menentukan bagaimana sebatan dilakukan, tetapi, kerajaan negeri tidak boleh buat satu hukuman yang melangkaui tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

AIB DAN MALU
Agama menyeru penganutnya menjaga aib, apakah hukuman sebatan di luar penjara mengaibkan pesalah?
Salah satu elemen mendidik adalah mendatangkan malu kepada pesalah supaya tidak lagi melakukan kerana al-haya’u minal (malu sebahagian daripada iman). Mendatangkan aib memang salah satu cara bagaimana kita mendidik, tetapi, mesti dikawal. Aib dalam konteks ini bukannya menyiarkan gambarnya semasa sebatan ke seluruh dunia atau bagaimana keadaannya menghadapi sebatan. Jadi, aib dari aspek ini tidak timbul, malah pesalah juga memakai baju menutup aurat. Lagipun, tiada siapa yang dibenarkan merakam video semasa pesalah disebat.

AKTA 355: PERKENAL HUKUMAN RESTORATIF
Apakah sudah tiada hukuman berbentuk punitif selain sebatan syariah yang masih ‘ringan’?
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) hanya membenarkan hukuman maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang diputuskan oleh hakim. Malangnya, sudah lama banyak pihak mahu Akta 355 ini dipinda untuk meningkatkan hukuman kesalahan tetapi masih dihadkan ke tahap ini

Saya pernah mencadangkan, Akta 355 ini turut memperkenal hukuman berbentuk restoratif seperti kerja kebajikan seperti orang yang melakukan kesalahan moral dihukum dengan menunaikan solat jemaah 40 waktu tanpa tertinggal sekiranya akta ini dipinda, memandangkan hukuman sedia ada hanya bersifat konvensional.

ISLAMOFOBIA
Adakah sebatan syariah di luar penjara mengundang Islamofobia atau mencetus sangkaan buruk penganut bukan Islam?
Mungkin juga begitu kerana mereka menyamakan undang-undang sivil dengan syariah sedangkan kedua-duanya berbeza. Mereka tidak faham bagaimana sebatan syariah berjalan dan di sinilah peranan kita untuk menerangkan kepada mereka.

ISTILAH LAIN ELAK SALAH FAHAM
Ada terma yang sesuai selain sebatan dalam syariah?
Saya pernah berdialog dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Geneva, Switzerland berkenaan hukuman sebatan. Apabila saya menerangkan hukuman seperti SOP dalam Seksyen 125 dan sebagainya, mereka tercengang kerana proses pelaksanaannya tidak seperti yang mereka jangka.

Mereka menganggap sama seperti sebatan sivil sehingga ada pesalah yang pengsan disebat beberapa kali sedangkan hanya berkhalwat bukannya melakukan hubungan seksual.
Mereka tanya kepada saya: “Zainul, anda rasa apa masalahnya? (Do you think what is the problem?)”.

Saya terkejut dengan soalan itu. Kata mereka, Malaysia menggunakan terma sebatan yang sama seperti undang-undang sivil. Negara kita tiada terma lain yang menjelaskan sebatan ini sangat kurang. Namun, sampai sekarang saya tidak menemui istilah sesuai untuk membezakan antara sebatan sivil dan syariah. Mungkin guna perkataan Arab saya pun tidak pasti.

Jika tiada istilah sesuai selain sebatan dalam undang-undang syariah, selagi itulah penganut bukan Islam berfikir buruk?
Sebab itulah dalam perbincangan saya di Geneva, mereka kata salah kita (Malaysia) juga kerana menggunakan terma sebatan dalam undang-undang sivil dan syariah atau rotan. Orang luar negara pun tidak tahu apakah Seksyen 125 ini dan menganggap, “sebatan” syariah ini sama seperti sivil.

Mungkin, kerajaan kena fikir satu istilah yang sesuai diguna selain daripada istilah “sebatan”. Ada menyatakan guna istilah Arab iaitu “jildah”, tetapi, tidak kisahlah apa pun istilahnya asalkan dapat membezakan kedua-dua undang-undang ini.

Mungkin Datuk sendiri boleh cadang apakah istilah paling sesuai?
Kalau saya dipanggil untuk mesyuarat mungkin boleh cadang. Sebenarnya sudah dicadang dahulu, tetapi saya tiada istilah yang tepat. Mungkin harus tanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)? (tertawa).

RUU 355
Boleh ulas tentang Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) yang masih tertangguh?
RUU ini sudah lama dibincang dan ada draf untuk pindaan. Saya tidak pasti apabila Persekutuan bertukar kerajaan dan menteri di manakah RUU ini sekarang?

Apa kesannya jika RUU355 dilaksanakan?
Awal tadi saya kata jika Akta 355 dipinda hendaklah memasukkan hukuman-hukuman berbentuk restoratif. Apabila dimasukkan, kerajaan negeri pula akan meminda undang-undang jenayah negeri masing-masing dan memasukkan hukuman yang bukan konvensional.

Kesannya sangat besar, kerana hakim (sebagai analogi), mudah menjatuhkan hukuman sembahyang berjemaah 40 waktu di masjid yang mana sekarang masih belum boleh dilakukan. Ini kerana tiada asas undang-undang daripada hukuman yang mahu dijatuhkan. Hukuman restoratif ini seperti cuci masjid, jalan raya, pergi kuliah agama dan sebagainya boleh dijatuhkan oleh hakim jika Akta 355 dipinda dan memasukkan hukuman restoratif.

PERKASA MAHKAMAH SYARIAH
Bagaimana cara memperkasa sistem mahkamah dan perundangan syariah supaya tiada lagi pertikaian selepas ini?
Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk menjelaskan apa bidang kuasa mahkamah syariah dan sivil yang khusus. Masalahnya kita hanya mentafsir perkataan di dalam undang-undang tidak jelas yang boleh ditafsirkan macam-macam. Jika dijelaskan tanpa perlu tafsiran, lebih mudah untuk kita bertindak. Mahkamah syariah dan sivil saling melengkapi, bukan bersaing antara satu sama lain.

AJARAN SESAT
Bagaimana cara membanteras ajaran sesat, gerakan menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam dan hukum syarak?
Ajaran sesat ini ada sebahagiannya diikuti oleh orang yang mahu mendekatkan diri dengan Tuhan, tetapi silap dalam mencari guru. Dia mahu cepat tetapi tiada asas agama yang mantap. Mahu dekat dengan Allah SWT, tetapi, percaya dengan ‘tok guru’ dan ikuti apa yang dikatakan. Maka, orang Islam hendaklah diberi asas dan ilmu agama yang kukuh bukannya menyeleweng.



Seksyen 125, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 –
Hukuman Sebat

125 (2)
Alat sebatan, tidak termasuk peme­gangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

125 (3)
Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat, iaitu:
 sebelum hukuman itu dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu adalah dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu;
 jika pesalah itu sedang hamil, pelaksanaan itu hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas dia melahirkan anak atau keguguran, mengikut mana- mana yang berkenaan;
 hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang Pegawai Perubatan Kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi maksud itu;
 orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang;
 orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah;
 selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya;
 sebatan boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit;
 pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut Hukum Syarak;
 jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah itu perempuan, dalam keadaan dia duduk;
 jika semasa pelaksanaan hukum sebat itu Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

Ulasan