Segera gubal akta kualiti air tangani pencemaran sungai
Dr Muhammad Nazrul Abd Rani - Januari 4, 2025 @ 10:30am
KUALITI air adalah salah satu isu utama perlu diberi perhatian dalam memastikan kelangsungan hidup dan kesejahteraan masyarakat.
Air adalah sumber sangat penting untuk pelbagai keperluan manusia, termasuk keperluan asas seperti minuman, pertanian dan industri. Oleh itu, memastikan kualiti air bersih dan selamat adalah menjadi tanggungjawab semua pihak.
Justeru, di Malaysia pengurusan bekalan air perlu dilindungi dengan penggubalan undang-undang sesuai bagi memastikan kelestarian dan kualiti sumber air di negara ini.
Hakikatnya, kualiti bekalan air adalah isu kritikal wajar diberikan perhatian kerajaan. Peningkatan pencemaran air, termasuk ancaman baharu seperti mikroplastik, memerlukan tindakan segera melalui penggubalan undang-undang lebih jelas dan menyeluruh.
Kerajaan sebelum ini dilaporkan mahu mewujudkan Akta Kualiti Air Minuman bertujuan memastikan rakyat mempunyai akses kepada bekalan air selamat, di samping melindungi kesihatan awam dan kelestarian sumber air negara.
Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan rancangan memperkenalkan akta ini, selaras dengan prinsip akses kepada bekalan air bersih adalah hak asasi manusia.
Pada Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, memaklumkan kajian menyeluruh sedang dijalankan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi menilai kesan bahan pencemar baharu, termasuk mikroplastik, terhadap kualiti air di lembangan sungai.
Mikroplastik, iaitu zarah plastik bersaiz kurang daripada 5 milimeter (mm), kini dikenal pasti sebagai salah satu ancaman utama kepada sumber air. Kajian mendapati mikroplastik bukan sahaja terdapat dalam air botol tetapi air paip dirawat.
Di Malaysia, pencemaran mikroplastik lazimnya berpunca daripada pelepasan industri, limpahan air permukaan bandar dan sisa kumbahan, berkait rapat dengan peningkatan sisa plastik akibat urbanisasi dan perindustrian.
Walaupun kesan kesihatan jangka panjang akibat mikroplastik masih dikaji, terdapat bukti menunjukkan zarah ini berpotensi membawa bahan kimia toksik seperti logam berat dan bahan mengganggu sistem endokrin. Risiko ini memerlukan pemantauan serta kawalan lebih ketat untuk melindungi kesihatan awam.
Mungkin perit untuk mengakui Malaysia masih ketinggalan dalam menyediakan peraturan khusus bagi menangani pencemaran mikroplastik dalam air minuman. Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (EQA 1974) dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006) tidak memperincikan mikroplastik sebagai bahan pencemar.
Piawaian jadi panduan utama
Piawaian kualiti air minuman kebangsaan juga tidak menyenaraikan mikroplastik sebagai antara parameter penting, meskipun ancaman ini diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sebagai perbandingan, negara maju seperti Kesatuan Eropah (EU) melaksanakan pendekatan pencegahan dalam rangka kerja undang-undang air minuman mereka.
Malaysia boleh mengambil iktibar atau mencontohi langkah ini untuk memperkukuhkan tadbir urus dan meningkatkan piawaian kualiti air minuman.
Akta Kualiti Air Minuman yang bakal digubal ini perlu menetapkan piawaian jelas berkaitan kandungan mikroplastik dalam air minuman, berdasarkan bukti saintifik terkini.
Piawaian ini akan menjadi panduan utama dalam memastikan air minuman bebas daripada risiko bahan cemar baharu seperti mikroplastik.
Selain itu, kawalan terhadap pelepasan industri perlu diperketatkan. Industri yang menjadi penyumbang utama kepada pencemaran mikroplastik perlu diwajibkan mematuhi peraturan pelepasan lebih ketat.
Pada masa sama, penggunaan teknologi rawatan moden seperti penapis membran dan proses oksidasi maju wajar digalakkan kerana ia terbukti berkesan dalam menangani pencemaran mikroplastik.
Selain itu, pemantauan berterusan juga amat penting. Kajian lapangan secara berkala bagi menilai tahap pencemaran mikroplastik di seluruh negara perlu dilaksanakan supaya keputusan dasar dibuat berasaskan data saintifik kukuh.
Dalam usaha ini, kerjasama antarabangsa harus diperluaskan. Malaysia boleh mencontohi amalan terbaik dilaksanakan di negara maju, termasuk integrasi pendekatan pencegahan dan penggunaan teknologi terkini dalam pengurusan kualiti air.
Langkah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya mikroplastik juga tidak kurang pentingnya. Kempen pendidikan dan maklumat perlu dilaksanakan untuk memupuk kefahaman dalam kalangan masyarakat pentingnya menjaga kualiti air minuman.
Ini dapat menggalakkan pembabitan aktif masyarakat termasuk operator air di seluruh negeri bagi memastikan air diminum bersih dan selamat, sekali gus menyokong pelaksanaan akta yang bakal digubal.
Penggubalan Akta Kualiti Air Minuman adalah langkah strategik untuk menangani ancaman mikroplastik dan bahan pencemar lain.
Langkah ini bukan sahaja melindungi kesihatan awam tetapi menyumbang kepada kelestarian sumber air negara, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 6 (Air bersih dan Sanitasi).
Justeru, kerajaan perlu segera mengambil tindakan menggubal akta ini bagi memastikan kualiti air minuman lebih baik untuk rakyat, melindungi kesihatan awam dan menjamin kelestarian sumber air negara untuk generasi akan datang.
Kualiti air dan pengurusan bekalan air adalah isu sangat penting bagi kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar. Oleh itu, penggubalan akta lebih tegas dan efektif, serta usaha melindungi dan memulihara sumber air adalah langkah penting memastikan kualiti air selamat untuk generasi akan datang.
Dengan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, kita dapat memastikan sumber air di Malaysia terus terpelihara dan berkualiti.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan