Sorok Titah elak desakan tarik diri dari kerajaan?



Sorok Titah elak desakan tarik diri dari kerajaan?
January 14, 2025

KOTA BHARU: Ketua Penerangan PAS mendedahkan tujuan sebenar Titah Adendum terhadap Dato’ Sri Najib Razak disembunyikan oleh pemimpin kerajaan hari ini termasuk Umno dan PKR.

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari turut memetik kenyataan salah seorang ahli PKR, Muhammad Faiz Na’aman yang menyatakan tindakan terbabit bakal mengubah landskap politik tanah air sekali lagi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu kerana merungkai persoalan sekiranya Titah Adendum didedahkan kepada khalayak lebih setahun lalu.

“Jadi sekarang bolehlah difahami kenapa titah itu disembunyikan, terima kasih ‘PKR man’ yang menjelaskan situasi sebenar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Faiz dalam kenyataan sebelum ini berkata, penyokong Dato’ Sri Najib Tun Razak akan mendesak Umno menarik diri daripada kerajaan jika bekas Perdana Menteri itu diberikan tahanan rumah.

Beliau berkata situasi itu mengakibatkan Umno mencari gabungan politik termasuk Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke 16 (PRU16).

Sebelum ini Najib mendapat kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan melaksanakan perintah tambahan dikeluarkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Peguamnya, Tan Sri Shafee Abdullah menyerahkan surat daripada pegawai pengawal kerabat diraja Pahang yang mengesahkan kewujudan adendum tersebut meminta beliau menjalani baki hukuman di rumah. – HARAKAHDAILY 14/1/2025

Ulasan