
Tiong King Sing bermudahan melabel ‘ekstremis’, siapa sebenarnya ekstremis?
January 13, 2025
JAWAPAN balas dengan melabel ‘ekstremis’ kepada pihak yang mempersoalkan ketiadaan paparan masjid dalam video teaser Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26) adalah sangat keterlaluan bagi seorang menteri.
Hakikatnya pembangkang tidak menangguk di air keruh, sebaliknya kesalahan yang dilakukan Tiong King Sing adalah terlalu fatal kerana seakan mengenepikan Identiti Nasional dan mensisihkan syiar kebangsaan 63.5 peratus rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Posisi yang disandangnya bukan sahaja tidak membawa citra negara, sebaliknya mengeksploitasi perihal berkaitan pelancong untuk bermudahan melabel ‘ekstrem’ kepada pihak yang tidak kena dengan seleranya. Malah modal ‘menjejaskan pelancong asing’ disanjungnya melebihi undang-undang negara.
Hal ini terbukti melalui peristiwa Ahli Parlimen Permatang Pauh meminta pihak pengurusan pusat membeli belah tidak mempromosikan jualan arak secara terbuka, langsung dilabelnya tindakan tersebut budaya ekstrem dan memanipulasi modal ‘menjejaskan sektor pelancongan’.
Selain itu, dalam isu kemerosotan pelancong di Langkawi tanpa sebarang usul periksa dia membuat tembakan rambang dengan menyatakan ‘pelancong berasa kurang senang dan tidak selesa dengan penyebaran fahaman ekstremis agama’ padahal faktor sebenar adalah kitaran logistik yang belum pulih sepenuhnya pasca COVID-19.
Tidak cukup dengan itu, terbukti Tiong lebih memfokuskan pelancong China ketimbang Undang-undang negara apabila menyelar tindakan DBKL yang menurunkan papan tanda bertulisan cina dengan menyatakan ianya ‘menimbulkan persepsi negatif kepada pelancong asing’. Walhal tindakan tersebut selari dengan Undang-undang Kecil Wilayah Persekutuan 1982.
Rumusannya, selagi mana Tiong King Sing menjawat Jawatan Menteri Pelancongan, dia akan akan terus mengeksploitasi ‘pelancong asing’ dan akan berterusan menyentuh sensitiviti rakyat teramai sekali gus menimbulkan polemik kepada negara.
Justeru, Perdana Menteri ke-10 (PMX) digesa menggantikan posisi Menteri Pelancongan dengan individu yang lagi layak. Buat rakyat, dalam membuktikan keseriusan usaha kita untuk menyingkir Tiong King Sing daripada menjawat posisi Menteri Pelancongan, ayuh kita bersama-sama suarakan melalui petisyen yang diusahakan Pertubuhan Gabungan Pengundi Sedar melalui pautan ini;
Sejuta rakyat Malaysia desak Tiong King Sing letak jawatan!
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA – HARAKAHDAILY 13/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan