Titah Adendum: Bibit mula kejatuhan Kerajaan PH-BN?

Titah Adendum: Bibit mula kejatuhan Kerajaan PH-BN?
January 13, 2025


KUALA LUMPUR: Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak dilihat bakal menjadi titik permulaan kepada kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).


Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan sudahpun campur tangan apabila fakta sebenarnya telah diketahui umum baru-baru ini.

“Sepanjang setahun berlalu, kerajaan sebenarnya jelas menyorok dan tidak berlaku jujur bukan sahaja kepada Dato’ Sri Najib Razak, tapi kepada Dewan Rakyat dan rakyat Malaysia berhubung dengan Titah Adendum ini.

“Sepatutnya benda ini tidak perlu sampai sebegini, tidak perlu sampai ke mahkamah. Sepatutnya kerajaan perlu nyatakan daripada awal ia (Titah Adendum) ada. Kenapa perlu sampai ke mahkamah?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas sidang meja bulat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), di sini hari ini.

Menurut beliau perkara itu jelas apabila kerajaan bertindak menyembunyikan perkara sebenar dalam titah tersebut, malah jawapan balas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hanya menimbulkan lebih banyak tanda tanya.

“Seperti yang diterangkan oleh Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, penerangan Perdana Menteri sebenarnya menimbulkan lebih banyak tanda tanya. Ia tidak menjernihkan keadaan.

“Ini masalah kerajaan. Saya rasa ini bibit-bibit permulaan kejatuhan Kerajaan Madani,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2025

Ulasan