
Titah Adendum: Polis ambil keterangan KJ 3 petang ini
TAN SRI RAZARUDIN HUSAIN
Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
13 Januari 2025, 2:59 pm
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengambil keterangan Khairy Jamaluddin membabitkan kenyataan bekas menteri terhadap Datuk Seri Azalina Othman Said didakwa berunsur fitnah berkaitan Titah Adendum.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima dua laporan pada Jumaat lalu dan satu kertas siasatan dibuka berhubung isu terbabit.
Katanya, pengadu mendakwa ada membaca sebuah portal berita tempatan berhubung kenyataan Khairy Jamaluddin yang mendakwa Azalina berkomplot menyorokkan Titah Adendum.
“Pengadu mendakwa kenyataan itu adalah tidak benar dan memburukkan imej Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
“Susulan itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) akan merakam percakapan Khairy Jamaluddin pada 3 petang ini di pejabatnya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, susulan itu, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung perkara itu,” katanya.
Jumaat lalu, Setiausaha Politik kepada Azalina Othman, Datuk Suraya Yaacob membuat laporan polis terhadap Khairy Jamaluddin di Balai Polis Sentul.
Terdahulu, Khairy menerusi siaran audio siar ‘Keluar Sekejap’ mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya UMNO susulan isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Khairy turut mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan