
Titah Adendum: Siapa penderhaka dan pembohong?
January 7, 2025
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama’ (Geng Ustaz) menyatakan kebimbangan serius berikutan keputusan Mahkamah Rayuan mengesahkan kewujudan Titah Adendum, namun perintah itu dinafi dan disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Setiausaha Agung Geng Ustaz, Ahmad Syakir Norazli berkata, keputusan itu mendedahkan sikap pihak tertentu yang disifatkan menderhaka kepada prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai Ketua Negara, selain bertindak di luar Perlembagaan.
“Titah Adendum yang sepatutnya berkuatkuasa tahun lepas telah dinafikan perintahnya untuk dilaksanakan oleh pihak yang berwajib. Malah, lebih teruk lagi kewujudannya cuba disorokkan daripada rakyat Malaysia.
“Ini jelas satu sikap dan tindakan yang menderhaka serta mencabar kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.
“Malah pihak yang bertanggungjawab ini telah bertindak di luar Perlembagaan seolah-olah dia pula lebih berkuasa daripada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan mengesahkan pembohongan pihak tertentu yang sebelum ini menafikan kewujudan titah berkenaan.
Ahmad Syakir berkata, tindakan itu bukan sahaja mencabar Perlembagaan, malah menzalimi hak bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak yang sepatutnya layak mendapat pengampunan dan tahanan rumah sejak setahun lalu.
“Ini bermakna hampir setahun beliau ditahan dengan cara tidak sah. Kenapa disorokkan titah ini? Isunya bukan kenapa perlu melepaskan Dato’ Sri Najib Razak.
“Akan tetapi kenapa dinafikan haknya untuk mendapat pengampunan sama seperti Anwar Ibrahim yang telah mendapat pengampunan walau sudah disabit kesalahannya?” katanya.
Menurut beliau, keputusan pengampunan sepatutnya dilaksanakan mengikut undang-undang tanpa diskriminasi, sebagaimana yang pernah dipercepatkan sebelum ini.
“Oleh itu, persoalannya siapakah penjenayah, pembohong dan penderhaka dalam isu ini?” persoalnya.
Sehubungan itu Geng Ustaz katanya, menyeru rakyat Malaysia membuat laporan polis secara besar-besaran bagi menuntut siasatan terhadap dalang di sebalik apa yang disifatkan sebagai skandal zalim itu.
“Geng Ustaz menuntut supaya penjenayah yang menjadi dalang di sebalik salah guna kuasa ini diheret ke muka pengadilan dan mendapat hukuman yang sewajarnya,” katanya.
Ahmad Syakir juga berpandangan Perdana Menteri perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu itu, terutama jika beliau tidak dimaklumkan mengenai kewujudan titah yang sepatutnya menjadi tanggungjawab beliau.
“Maka negara ini sedang memiliki seorang Perdana Menteri yang sangat lemah. Mudah-mudah sahaja perkara sebesar penting ini disorokkan daripada beliau atau tidak dipedulikan beliau.
“Geng Ustaz menegaskan supaya pihak pentadbiran negara berlaku adil dalam isu ini kerana ancaman neraka yang sangat dahsyat dijanjikan Allah buat orang yang berlaku zalim, menindas dan menganiaya hak orang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan