Titah Adendum wujud
NAJIB RAZAK
Oleh SUWARNI MOKHTAR
7 Januari 2025, 7:00 am
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam memberikan kebenaran kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan suatu Titah Adendum yang dikatakan membenarkan beliau menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.
Dalam keputusan 2-1, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril menyokong keputusan itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim prosiding menentang penghakiman terbabit.
Menurut keputusan majoriti yang dibacakan oleh Hakim Mohd. Firuz, Najib telah memenuhi prinsip untuk memasukkan bukti baharu pada ketika ini, sekali gus menunjukkan titah itu wujud.
“Pada peringkat ini, kami tidak menekankan mengenai kesahihan (authenticity) (Titah Adendum) sebaliknya lebih kepada sama ada titah itu wujud atau tidak.
“Disebabkan tiada sebarang cabaran yang mempertikaikan kewujudannya (oleh responden), maka tiada sebarang justifikasi untuk kami menyatakan bahawa prinsip untuk memasukkan bukti baharu tidak dipenuhi.
“Kami berpendapat bahawa, kegagalan responden untuk mencabar mengenai kewujudan adendum itu juga menunjukkan bahawa mahkamah ini tidak boleh mengetepikan kewujudan titah Yang di-Pertuan Agong itu,” kata Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril.
Selain itu, tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, adalah mustahil untuk anak Najib, Datuk Mohd. Nizar menggunakan titah tersebut dalam rayuan membabitkan bapanya itu.
Terdahulu, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee memaklumkan mahkamah, selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai 2024, Mohd. Nizar telah menerima sesalinan Titah Adendum itu daripada Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, namun dilarang daripada menggunakan surat itu tanpa perkenan Sultan Pahang.
Hanya pada 2 Disember lalu, Mohd. Nizar peroleh perkenan Sultan Pahang untuk memasukkan Titah Adendum itu dalam afidavit permohonannya.
Muhammad Shafee ketika berhujah turut menyatakan, sesalinan Titah Adendum itu juga telah dihantar kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh.
Antara isi kandungan titah tersebut ialah:
“Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Tuhan Seru Sekalian Alam ke Majlis Yang Berbahagia Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh, Peguam Negara Malaysia yang berada pada masa ini di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya dengan beberapa selamat dan sejahteranya.
“Wabadah Ehwal, Beta dengan ini menitahkan sebagai tambahan kepada keputusan Beta berhubung Banduan. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan dan Putrajaya kali ke-61 pada hari Isnin, 29 Januari 2024 bersamaan 17 Rejab 1445 Hijrah supaya Banduan, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak menjalani baki hukuman menerusi penahanan dalam rumah (House Arrest).”
Katanya, disebabkan kekecohan yang timbul akibat titah tambahan itu, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin terpaksa ‘menjelaskan keadaan’ apabila menyerahkan sesalinan adendum itu.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu juga membenarkan Najib untuk mencabar kewujudan perintah itu dan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar di hadapan hakim yang berlainan. Kes ditetapkan untuk pengurusan pada 13 Januari ini.
Hakim Azizah dalam keputusan menentangnya menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu itu dan juga rayuan berhubung kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman atas alasan kedua-dua permohonan itu tidak mempunyai merit.
Pada 30 Januari 2024, Utusan Malaysia melaporkan berita berhubung pengampunan Najib terhadap hukuman yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah bagi tuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd.
Namun, berita terbabit ditarik balik atas alasan maklumat yang dinyatakan tidak disahkan. Petikan berita terbabit disiar semula oleh portal berita luar negara yang turut menyatakan fakta yang sama.
Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.
Menurut afidavit difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung Titah Adendum pada 12 Februari lalu.
Ulasan
Catat Ulasan