Umno usah gentar, tunduk pada ‘batuk kecil’ DAP


Umno usah gentar, tunduk pada ‘batuk kecil’ DAP
January 4, 2025

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berasa hairan dengan tindakan Umno membatalkan himpunan solidariti Dato’ Sri Najib Razak hanya tidak sampai empat jam selepas Najib melahirkan rasa terharunya.

Menurut beliau, pembatalan itu mencerminkan sikap pengecut Umno, yang dilihat tunduk kepada tekanan daripada DAP, walaupun alasan rasmi yang diberikan adalah untuk menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu malah menyifatkan tindakan Umno tersebut sebagai satu bentuk lakonan untuk menutup kelemahan sebenar mereka.

“Kali ini mereka memilih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai sandaran untuk melindungi sikap pengecut mereka terhadap DAP.

“Jika Umno benar-benar mahu mempertahankan prinsip, mereka patut teruskan himpunan ini sebagai lambang ketaatan kepada institusi Raja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Tuan Ibrahim menegaskan PAS sentiasa menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong dan kedaulatan Perlembagaan, termasuk dalam isu berkaitan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“PAS akur dengan segala proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“PAS hanya memperjuangkan keadilan buat semua rakyat, tanpa mengira pangkat dan kedudukan mereka. Hal ini kerana, PAS mengamalkan keadilan yang ditentukan oleh Islam,” jelasnya.

Mainan politik, Umno tunduk DAP?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu turut mengkritik kerajaan hari ini, yang seolah bermain ‘api’ dengan menafikan kewujudan Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong berkaitan kes Najib Razak.

Beliau memetik kenyataan bercanggah daripada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, yang menafikan kewujudan Titah Adendum tersebut, walaupun ahli keluarga Najib melalui afidavit mengesahkan ia benar-benar wujud.

“Maka keadilan ini yang PAS perjuangkan, iaitu berikan hak kepada mereka yang berhak mendapatkannya,” ujarnya.

Namun menurutnya, agak malang apabila kenyataan Umno untuk tidak meneruskan himpunan itu keluar selepas DAP menyatakan ketidakpuasan hati mereka atas keputusan Umno pada asalnya mahu menyertai.

“Tindakan ini sudah terang lagi bersuluh, sekali lagi mengiyakan dakwaan rakyat sekarang bahawa Umno hanya menjadi pengikut setia dan hanya mengangguk kepada apa sahaja yang dikatakan DAP,” jelasnya.

Ketua Pembangkang DUN Pahang itu berkata, sekiranya Umno mahu membuang persepsi itu, mereka perlu berani bertindak atas prinsip, bukan tunduk kepada ‘batuk kecil’ DAP.

Himpunan itu juga katanya, adalah tanda bahawa Umno mahukan keadilan dan layanan sama rata kepada pemimpin mereka, Najib Razak seperti mana yang mereka ungkit dan bangkitkan ketika mempersoalkan Perdana Menteri ke-8 dan ke-9 suatu masa dahulu.

”Cuma, terdetik diminda saya, adakah Presiden dan pemimpin Umno yang sedang menduduki kerusi empuk Menteri dan Timbalan Menteri sudah tidak pedulikan ahli Umno serta maruah Umno?

“Jika itu yang terjadi, saya menzahirkan rasa simpati kepada Najib Razak yang sudah pasti banyak jasanya kepada ahli dan parti Umno,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2025

Ulasan