Vermeulen insan mulia mahu satukan Mansor-Natrah



Vermeulen insan mulia mahu satukan Mansor-Natrah
Oleh FATINI YAAKOB
26 Januari 2025, 5:30 pm


Saya masih lagi di Belanda pada November 1988, dalam usaha menjalankan kajian, mencari dan mewancara orang yang terlibat dalam sejarah Natrah ini.

Salah seorang yang istimewa dalam pencarian ini ialah Johannes Gerardus Vermeulen atau J.G Vermeulen.

Nama beliau saya dapati di dalam salah satu fail yang diberikan oleh arwah Mansor Adabi kepada saya. Vermeulen ialah bekas seorang askar yang berhati mulia ingin membantu mempertemukan Natrah dengan Mansor.

Beliau tergolong daripada golongan anti pemisah yang dipaksakan antara Natrah-Mansor yang mahu bangkit membantu.

Khabar bahawa Vermeulen baru seminggu pulang ke Belanda setelah berpuluh tahun di luar negara memang amat memeranjatkan saya.

Saya sungguh-sungguh bersyukur dengan semua pertolongan Allah bagi memudahkan kerja saya ini.


Tulisan tentang Vermeulen begitu banyak di dalam buku saya (Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata, Penerbit UTM Press, 2010) iaitu sebanyak 14 muka surat. Panjang dan penuh drama kisah Vermeulen membantu Mansor-Natrah ini.

Yang lebih istimewa apabila saya berpeluang mendapat fail Vermeulen di Arkib Penduduk Bergen op Zoom. Giliran Vermeulen pula untuk terperanjat melihat perincian laporan dirinya dalam fail itu.

Niat mulia Vermeulen bermula ketika melihat wajah muram Natrah ketika turun daripada kapal terbang yang memisahkannya daripada suaminya. Daripada apa yang disayanginya dan yang meremukkan hati seorang isteri supaya menjadi kanak-kanak semula.

Vermeulen menyatakan hasratnya untuk membantu Mansor-Natrah dengan menghantar surat kepada Mansor melalui juruterbang KLM.

Beliau hanya menulis di sampulnya ‘Mansor Adabi, Singapura’. Tidak lama kemudian beliau mendapat balasan baik daripada Mansor. Kerjanya bermula dengan menaiki keretapi laju dari Amsterdam ke Bergen Op Zoom. Kemudian menaiki basikal ke rumah Natrah – daerah Emmaplein.

Usaha pertamanya gagal. Vermeulen tidak menyangka begitu ketat kawalan terhadap Natrah. Vermeulen diiringi polis untuk naik ke keretapi dan balik semula ke Amsterdam.

Kali kedua Vermeulen lebih berhati-hati. Beliau cuba mendekati Natrah dari sekolahnya. Vermeulen merapati seorang budak lelaki yang masuk ke kedai. Nasibnya baik apabila Kees de Nijs mengenali Natrah.



Vermeulen mengambil kesempatan baik itu memberikan sampul surat berisi surat Mansor kepada Natrah dan surat beliau sendiri kepada Natrah.

Surat Pemutus Kasih Natrah-Mansor Melalui Vermeulen

Surat itu akhirnya sampai juga ke tangan polis. Polis mengambil kesempatan ini untuk membuat surat palsu kepada Natrah kepada Mansor. Vermeulen mendapat balasan surat Mansor daripada

Kees dan mengeposkannya kepada Mansor. Surat itu berbunyi agak kasar dan tidak seperti Natrah yang Mansor kenali.


Vermeulen dan Mansor tidak menyangka demikian bunyi surat Natrah. Mansor tulis lagi dalam tulisan jawi. Kali ini surat Mansor dibalas dengan lebih pedas …”Saya sudah katolik..awak jangan balas lagi kepada surat kepada saya. Saya juga enggan pulang lagi…saya sudah bisa bicara Belanda. Saya tidak mahu lihat awak lagi – Bertha Hertogh.

Sampai saat kematiannya, Mansor tidak tahu pun bahawa itu bukan tulisan Natrah.

Itu rekayasa polis yang mahu melihat mereka terpisah secara batinnya. Untuk Mansor yang begitu beradab isi surat itu menjadikannya hilang kawalan diri.

Kawan serumahnya di Kelantan House, Singapura terkejut kerana tiba-tiba satu hari mereka melihat semua surat dan gambar Natrah di dalam bakul sampah!

Setelah mendengar nasihat kawan-kawannya akhirnya Mansor mengahwini anak muridnya sendiri, Zaiton.

Sementara Natrah yang tidak tahu menahu tentang plot polis ini, terkejut apabila membaca akhbar dan melihat gambar pernikahan Mansor dengan Zaiton.

Kini lengkaplah ‘kemusnahan’ hati Natrah. Bayangkan Natrah pun hanya mengetahui tentang surat palsu itu ketika saya bertemunya di Nevada USA!

Vermeulen juga hanya mengetahui surat itu palsu 36 tahun kemudian, apabila saya tunjukkan isi fail peribadinya itu. Vermeulen terkedu ketika membaca fail peribadinya.

Niat mulia Vermeulen untuk menyatukan mereka terbalik seolah-olah beliau pula yang menjadi alat pemisah tragis antara mereka berdua!

Kisah Natrah memang sebuah drama hidup yang menyayat hati. Padahal Natrah hanyalah seorang budak kecil yang Allah takdirkan menjadi alat kebangkitan sebuah bangsa!

 Minggu Depan: Natrah/Bertha Hertogh dalam Akhbar

Puan Sri Fatini Yaacob ialah bekas Wartawan majalah DBP yang mewancara Natrah di Nevada, Amerika Syarikat dan membuat penyelidikan sejarah ini (1988-1989). Beliau kini Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid yang diasaskan sebagai pemegang amanah Sejarah Natrah. – UTUSAN

Ulasan