Wujud Akta Antibuli elak sekolah lahirkan generasi samseng



Wujud Akta Antibuli elak sekolah lahirkan generasi samseng
Dr Muzaffar Syah Mallow - Januari 4, 2025 @ 9:00am
KEJADIAN buli menggemparkan lagi masyarakat hingga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sendiri mengingatkan pengetua, guru besar dan guru pentadbir supaya tidak merahsiakan sebarang kes membabitkan pelajar di sekolah.

Dalam kejadian terbaharu, media melaporkan 'geng gelap' membuli pelajar junior antaranya dipaksa bogel dan perlu melakukan aksi commando rest' dikatakan berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh.

Malah, kes buli turut berlaku di universiti termasuk yang paling tidak dapat dilupakan ialah kejadian tragik berlaku kepada Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21 tahun pada 2017.

Semua ini menunjukkan isu buli perlu diatasi segera tetapi persoalan utama perlu dilontarkan, mengapakah kejadian buli masih berlaku di dalam institusi pendidikan kita sama ada di sekolah ataupun universiti? Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar, terutama ibu bapa dan penjaga.


Pada masa sama, buli mempunyai skop besar termasuk kegiatan memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk dan memaki.

Pelbagai faktor mempengaruhi seorang pelajar terbabit dalam gejala buli ini, antaranya latar belakang keluarga pembuli bermasalah, pengaruh negatif rakan sebaya, kurang pendidikan moral dan agama, masalah mental atau emosi tidak stabil, persekitaran atau suasana di sekolah atau universiti tidak kondusif serta pengaruh buruk dari internet.

Dalam mengatasi masalah buli dalam semua sektor pendidikan, pihak pengurusan sekolah dan universiti perlu melaksanakan peranan penting membendungnya. Ini kerana sesuatu kejadian berlaku dalam kawasan dan waktu pengawasan mereka.

Oleh itu, pihak pengurusan sekolah dan universiti sepatutnya lebih mengetahui masalah buli berbanding orang lain dan perlu berani tampil mengakui masalah buli ini memang wujud dan menyebabkan kerisauan pelajar, ibu bapa serta penjaga.

Seseorang pelajar menjadi mangsa kepada kegiatan buli atau individu menjadi saksi kepada kegiatan buli tidak akan mengadu kepada pihak pengurusan sekiranya tahu cerita mereka tidak akan dipercayai atau tidak diberi sebarang jaminan perlindungan ataupun penyelesaian sekiranya tampil ke hadapan serta berkongsi maklumat.

Oleh itu, pihak pengurusan sekolah dan universiti perlu mengambil pelbagai inisiatif mendapatkan maklumat mengenai segala kegiatan buli di kawasan pentadbiran masing-masing, sama ada kegiatan buli dalam bentuk psikologi mahupun fizikal.

Semua sekolah dan universiti perlu mempunyai peraturan jelas berkaitan isu buli ini. Segala peraturan terbabit perlu diuar-uarkan setiap masa bukan setakat diucapkan pada setiap awal tahun pada sesi pembukaan persekolahan atau ketika majlis suai kenal ketika hendak masuk ke universiti.

Pihak pengurusan sekolah dan universiti digalakkan menampal poster antibuli di dalam sekolah dan kampus universiti serta mengedarkan risalah berkaitan kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa atau penjaga.

Semua maklumat terkandung dalam poster dan risalah diedarkan mestilah merangkumi definisi dan segala bentuk atau kategori buli, panduan mudah untuk menangani insiden buli dan paling utama adalah talian kecemasan untuk dihubungi sekiranya seseorang pelajar itu hadapi masalah buli.

Rangka undang-undang baharu

Kerajaan pula perlu memberi pertimbangan untuk mewujudkan rang undang-undang baharu khusus bagi mengatasi masalah buli dalam negara kita.

Sebarang usaha tanpa adanya peruntukan undang-undang lebih berkesan tidak akan membawa sebarang impak positif.

Bagi membendung kegiatan buli daripada berterusan, terutama dalam sektor pendidikan seperti sekolah dan universiti, kerajaan juga disarankan meminda sebarang peruntukan undang-undang seperti Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) atau mewujudkan terus 'Akta Antibuli'.

Kerajaan boleh membuat rujukan terhadap peruntukan undang-undang di luar negara seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Dengan adanya peruntukan undang-undang, semua pihak akan mengambil serius terhadap isu buli ini dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan kegiatan buli.

Menerusi peruntukan undang-undang ini juga, ia boleh memastikan setiap tempat memiliki dasar antibuli lebih jelas, seragam dan sesuai.

Malah, hukuman setimpal dapat diberikan kepada mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan buli atau gagal membendung kegiatan buli.

Isu buli tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja atau hanya diberi perhatian jika berlaku sesuatu insiden seperti yang berlaku ini.

Ia memerlukan komitmen tinggi semua pihak, baik pensyarah, guru, ibu bapa atau pelajar itu sendiri bagi memastikan semua institusi pendidikan dalam negara kita menjadi gedung ilmu, bukannya tempat 'melahirkan' generasi samseng.

Perbuatan membuli, sama ada untuk berseronok atau kerana benci tidak sepatutnya menjadi amalan biasa atau budaya menunjangi institusi pendidikan negara.

Penulis adalah Profesor Madya Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Ulasan