
200,000 tandatangan petisyen desak lucut kerakyatan Elon Musk
PENUNJUK perasaan menunjukkan sepanduk memaparkan wajah Elon Musk, sebagai menentang pentadbiran Presiden Donald Trump pada protes 'Not My President's Day' di Capitol, Washington, DC, pada 17 Februari lalu.- AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
26 Februari 2025, 10:00 am
OTTAWA: Lebih 200,000 rakyat Kanada menandatangani petisyen parlimen yang menggesa negara melucutkan kerakyatan jutawan terkenal, Elon Musk.
Gesaan terhadap pemilik Tesla dan SpaceX itu dibuat susulan hubungan akrabnya dengan Presiden Donald Trump yang sebelum ini berulang kali mengancam untuk menakluk Kanada dan menjadikannya negeri ke-51 Amerika Syarikat (AS).
Pengarang British Columbia, Qualia Reed, melancarkan petisyen itu di Dewan Rakyat Kanada, di mana disokong oleh ahli Parlimen Demokrat Baharu (NDP) dan pengkritik tegas Musk, Charlie Angus.
Dilahirkan di Afrika Selatan, Musk yang juga pemilik platform X memperoleh kerakyatan Kanada melalui ibunya yang berasal dari Regina, di wilayah Saskatchewan.
Beliau giat berkempen untuk mengecilkan saiz kerajaan persekutuan atas arahan Trump, yang konsisten mencabar kedaulatan Kanada sejak kembali ke Rumah Putih untuk penggal keduanya pada 20 Januari lalu.
Petisyen Reed, yang difailkan pada 20 Februari, menuduh Musk terlibat dalam aktiviti yang bertentangan dengan kepentingan nasional Kanada dengan bertindak sebagai penasihat kepada Trump.
Sebelum ini, Trump membangkitkan kemarahan 40 juta rakyat Kanada dengan mengancam untuk mengenakan tarif tinggi ke atas produknya dan secara terbuka menyatakan hasrat untuk ‘merampas’ negara itu.
Petisyen itu menegaskan, hubungan Musk dan Trump menjadikannya seorang anggota kerajaan asing yang cuba menghapuskan kedaulatan Kanada.
Ia meminta Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, untuk segera menarik balik pasport Musk dan melucutkan kerakyatannya serta-merta.
Seperti dinyatakan oleh Canadian Press, petisyen seperti yang dikemukakan Reed memerlukan sekurang-kurangnya 500 tandatangan untuk mendapatkan kelayakan bagi dibentang di Dewan Rakyat Kanada serta berpotensi menerima respon rasmi daripada kerajaan.
Petisyen tersebut jelas tiada masalah untuk memperoleh kelayakan itu, dengan jumlah tandatangan terus meningkat sehingga kini.- THE GUARDIAN
Ulasan
Catat Ulasan