Ahmad Fadhli minta penjelasan pembangunan di Pasir Mas



Ahmad Fadhli minta penjelasan pembangunan di Pasir Mas
February 4, 2025

Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR: Kerajaan PH-BN diminta memberi penjelasan mengenai beberapa isu pembangunan di kawasan Pasir Mas yang masih tergantung tanpa sebarang perkembangan jelas.

Dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menuntut kepastian daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkenaan kerja naik taraf Mini Stadium Pasir Mas yang masih belum dimulakan.

“Timbalan Menteri sebelum ini pernah menjawab bahawa kerja-kerja naik taraf akan dilaksanakan pada tahun 2024. Tapi sampai sekarang, tender pun belum dianugerahkan,” katanya.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu yang bertujuan menghalang banjir dari Sungai Golok ke Pasir Mas.

“Kerajaan Kelantan baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mengkaji semula projek ini. Saya mahu tahu, apakah pendirian kerajaan dalam perkara ini?” tegasnya.

Beliau juga mempersoalkan kelewatan menaik taraf jalan utama dari Pasir Pekan ke Pasir Mas yang menurutnya sudah terlalu lama tidak dibaik pulih.

“Jalan ini penuh dengan lopak dan keadaan tidak selamat untuk pengguna. Bilakah laluan ini akan dinaik taraf?” soalnya lagi.

Ahmad Fadhli turut mencadangkan supaya kerajaan menambah baik pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan banjir dengan menjadikan setiap sekolah sebagai pengkalan hadapan yang dilengkapi dengan peralatan asas bagi menghadapi bencana.

Tegasnya, isu pembangunan yang seimbang harus diberi perhatian tanpa mengira perbezaan politik, kerana rakyat berhak menikmati kemajuan yang adil di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

Ulasan