Anak-anak kita dikelilingi makanan yang boleh ‘membunuh’
Oleh Aznan Bakar
23 Februari 2025, 7:15 am
INSIDEN yang menimpa arwah Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin adalah satu tragedi yang menyedih dan menginsafkan semua pihak.
Walaupun ajal maut itu hanya Tuhan yang menentukan, tetapi kita sebagai manusia diminta supaya berikhtiar dan sentiasa menghindari bahaya.
Anak-anak sekolah dan makanan memang sesuatu yang tidak dipisahkan. Yang di sekolah rendah terutamanya, mereka belum boleh berfikir panjang dan mudah tertarik dengan makanan yang berwarna-warni dan rasanya manis.
Sebab itu para pengeluar makanan ringan memastikan produk mereka mampu menarik perhatian kanak-kanak. Pengeluar tidak mengutamakan khasiat, sebaliknya tarikan untuk melariskan produk.
Satu ketika dahulu makanan tidak berkhasiat atau jajan ini bebas dijual di kantin-kantin sekolah. Tetapi atas kesedaran ramai terutama ibu bapa maka pihak kerajaan membuat keputusan untuk mengharamkan penjualan jajan di kantin sekolah bagi mengelakkan pengambilan makanan yang tidak sihat.
Hasilnya sekarang, kawasan sekolah sudah bebas daripada penjualan makanan yang menjejaskan kesihatan anak-anak ini. Tetapi kita kena ingat, masa anak-anak kita bukan 100 peratus di sekolah. Habis saja waktu sekolah mereka akan berlegar-legar di luar kawasan sekolah sama ada untuk menunggu ibu bapa datang jemput atau bas untuk pulang.
Di luar kawasan sekolah ada bermacam-macam tarikan untuk kanak-kanak yang di luar bidang kuasa sekolah atau pejabat pendidikan.
Apabila anak-anak ini melangkah keluar dari pagar sekolah, biasanya mereka akan meluru ke gerai-gerai yang menjual makanan yang tidak ada di kantin.
Segala jenis makanan ringan yang memudaratkan menjadi pilihan mereka. Tidak ada siapa yang boleh kawal kerana sudah di luar kawasan sekolah.
Selang beberapa meter dari pagar sekolah, atau di seberang jalan ada saja peniaga-peniaga yang menjual bermacam-macam jenis jajan yang pasti menarik minat murid-murid ini termasuk gummy gum yang menjadi punca kepada kematian adik Mohammad Fahmi Hafiz.
Berdasarkan kepada maklumat yang diberikan oleh Public Health Malaysia, ternyata gula-gula getah gummy eyeball maut sangat berbahaya kerana memiliki tekstur licin dan kenyal, mudah tergelincir terus ke dalam tekak sebelum sempat dikunyah. Apabila tertelan ia boleh tersangkut di saluran pernafasan dan sukar dikeluarkan jika sekadar tersedak.
Selain gummy eyeball ini, ada banyak lagi jajan-jajan yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada anak-anak kita yang dijual di sekitar kawasan sekolah. Jajan-jajan ini sama ada memberi kesan negatif serta merta atau untuk jangka seperti menyebabkan kegemukan, masalah buang pinggang, kencing manis dan sebagainya.
Mengambil iktibar daripada tragedi yang menimpa adik Mohammad Fahmi Hafiz, mungkin pihak berkuasa boleh menguatkuasakan larangan menjaja di kawasan sekolah.
Tetapkan perimeter kawasan yang tidak boleh menjaja. Mungkin dalam lingkungan 500 meter dari kawasan sekolah untuk mengelakkan anak-anak yang tidak mengerti apa-apa ini terjebak dengan perangkap makanan yang boleh membawa maut.
Jika di rumah ibu bapa boleh pantau. Tetapi dalam tempoh senggang selepas habis waktu sekolah dan sebelum ibu bapa datang ambil, mereka cukup terdedah kepada makanan-makanan yang tidak berkhasiat dan mengancam nyawa ini. – UTUSAN
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan