Apa kaitan Dr. Tom Eames Hughes dengan Natrah?



Apa kaitan Dr. Tom Eames Hughes dengan Natrah?
Oleh FATINI YAAKOB
16 Februari 2025, 9:15 am

Saya berjumpa nama Dr. Tom Eames Hughes apabila menggali bahan mencari Natrah. Buku kecil nipis bertajuk Tangled Worlds – The Story of Maria Hertogh, berwarna putih merah terbitan Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS), Singapura 1980, setebal 64 muka surat banyak memberikan maklumat awal yang penting tentang Natrah.

Buku ini beliau tulis semasa menjadi fellow ISEAS antara Mac hingga April 1980.

Buku ini adalah hasil pengalaman beliau sendiri berada di Singapura sebagai Ketua Jabatan Kebajikan Masyarakat dari tahun 1946-1950.

Semasa beliau bertugas Natrah ditempatkan di bawah jagaannya di Girl Home Craft Centre, York Hill, Singapura selama empat bulan – April hingga Julai 1950. Jadi, beliau dapat mengenali hati budi Natrah dan Che Aminah.

Beliau mula bertugas di Singapura tahun 1946 dan bersara 1963. Beliau masih bekerja di Tanah Melayu semasa merdeka dan ikut membantu mendrafkan Penyata Dasar Pelajaran Razak dan Rahman Talib.

Semasa rusuhan Natrah berlaku pada Disember 1950, beliau tiada di Singapura, kerana ditugaskan bekerja di Kuala lumpur.

Yang menarik perhatian saya tentang tulisan beliau adalah pandangan yang adil terhadap Che Aminah dan Natrah. Semasa bertugas sebagai pegawai kerajaan Dr. Tom tidak boleh memberikan apa-apa pandangan peribadi terhadap mereka berdua. Sebaliknya, beliau mengambil inisiatif merakamkan pengalaman itu pada 1980 setelah 17 tahun bersara.

Di dalam buku kecilnya itu Dr. Tom menulis tentang Che Aminah sebagai seorang wanita bangsawan yang berhemah tinggi.

Kalau di Barat, Che Aminah digelar borjouis (bangsawan) berbanding ibu kandung Natrah-Adeline sebagai orang biasa-biasa sahaja.

​​Bertandang ke rumah Dr. Tom di kampung Bangor, Wales

Saya mencari alamat rumah dan nombor telefon Dr.Tom daripada penerbit bukunya di ISEAS, Singapura. Setelah habis semua bahan diselidik di Amsterdam dan Bergen op Zoom, saya terbang ke London pula.

Saya singgah sekejap membuat penyelidikan di perpustakaan akhbar di London. Di London saya mengambil kesempatan untuk menelefon Dr. Tom guna telefon awam yang klasik itu untuk menemu bual beliau di rumahnya di Bangor, di Barat London.

Jarak Bangor dan London sekitar 277 kilometer mengambil masa lima jam 16 minit untuk sampai dengan kereta.

Untuk ke rumahnya, pilihan yang ada hanya keretapi dan bas. Nasib saya baik apabila kawan saya suami isteri yang tinggal di London sudi memandu kereta ke sana.

Kawan itu sekarang adalah Presiden MSU – Tan Sri Dr. Shukri Ab Yajid dan isterinya Puan Sri Junainah. Hebat kawan saya ini sekarang!

Kami sampai agak petang. Isterinya menjamu kami minum teh dan makan scones. Kiranya itu adalah layanan terbaik ikut budaya mat salleh terhadap orang asing yang baru dikenali.

Ketika bertanya tentang Natrah, Dr. Tom berkata: “Saya pernah bercakap dengannya… dalam bahasa Melayu saya yang kurang baik (tersenyum)…saya dapati Natrah adalah seorang gadis yang sopan santun.

“Ucapan tahniah patut diberikan kepada Che Aminah yang mengasuhnya. Natrah selalu berkata bahawa Aminah adalah ibu saya. Saya tidak ada ibu yang lain. Saya dapat rasakan kasihnya kepada Aminah sangat tebal dan suci” (lihat wawancara penuh dalam majalah Dewan Masyarakat, Mac 1989).

Ketika saya bertanyakan tentang Mansor Adabi Dr. Tom menjawab: “Saya pernah bertemu Mansor pada tahun 1980 sewaktu kembali ke Singapura untuk menulis buku Tangled World itu.

“Mansor memberitahu saya beliau tidak puas hati kerana stesen televisyen salah petik hasil wawancara dengannya. Beliau memberitahu saya tidak gembira dengan hasil pembikinan filem tersebut.”

Apabila ditanya tentang Che Aminah, beliau mengakui: “Che Aminah adalah seorang wanita yang berhemah tinggi dan kasihnya pada Natrah adalah asli dan suci”

Akhir sekali saya tanyakan soalan ini: “Sekiranya diberi pilihan untuk membuat keputusan dalam kes Natrah, apakah yang akan diputuskan?

Dr. Tom menjawab: “Saya akan kembalikan Natrah kepada Che Aminah. Itulah kebahagiaan sebenar yang diperlukan oleh Natrah.”
Dr. Tom memiliki jiwa kemanusiaan dan jiwa kasih sesama insan yang tinggi.

Sifat beliau mewakili beberapa orang pegawai tadbir Inggeris zaman penjajah itu, yang berhati mulia yang terasing daripada kelompok penjajah Inggeris Tanah Melayu yang niat asalnya adalah untuk menjarah kekayaan pribumi, menindas dan meminggirkan penduduk pribumi secara halus dan terancang.

Sebelum balik saya memberitahunya sedang berusaha untuk bertemu Natrah. Saya mahu pastikan setelah 39 tahun dibawa balik ke Belanda, adakah benar kesimpulan Dr. Tom tentang Natrah “bahawa Natrah sangat sukar menemui kebahagiaan dalam hidupnya”.

Dr Tom tersenyum dan meminta saya memberitahunya hasil pertemuan itu.

Kami kembali ke London setelah habis wawancara sekitar pukul 9 malam, kerana kawan saya tidak mahu bermalam di homestay cantik di tepi cenuram Bangor, Wales itu.

#Minggu depan: Mencari hala ke Amerika Syarikat bertemu Natrah

Puan Sri Fatini Yaacob ialah bekas Wartawan majalah DBP yang mewawancara Natrah di Nevada, Amerika Syarikat dan membuat penyelidikan sejarah ini (1988-1989). Beliau kini Pengerusi Eksekutif Yayasan Kasih Tauhid yang diasaskan sebagai pemegang amanah Sejarah Natrah.

Ulasan