

Berita
Malang sekali tiada tindakan pada Yeoh, kata bekas pegawai Iksim
Diterbitkan: Feb 6, 2025 5:04 PMSeorang bekas pegawai kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) Harizal Hassanmemberi keterangan di mahkamah berkata "malang sekali" pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap Hannah Yeoh berhubung buku memoirnya, Becoming Hannah.
Harizal memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jika buku tersebut secara jelas mengandungi agenda keagamaan, menteri belia dan sukan itu sudah berada dalam penjara hari ini.
Harizal memberikan keterangan bagi pihak pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff, yang sedang disaman oleh Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh atas dakwaan memfitnah dengan menuduh bukunya mempunyai agenda Kristianisasi di Malaysia.
Harizal akui tiada laporan polis
Ketika disoal balas oleh peguam Yeoh, Sangeet Kaur Deo, Harizal mengakui dia sendiri tidak pernah membuat laporan polis terhadap buku yang diterbitkan pada tahun 2014 itu.
Namun, dia berkata dirinya dan Iksim pernah berkongsi pandangan mereka dengan pihak polis mengenai isu berkaitan.
Sangeet kemudian menekankan walaupun Iksim telah memberikan pandangannya kepada pihak berkuasa, tiada tindakan diambil terhadap Yeoh.

Harizal bersetuju dengan kenyataan tersebut tetapi tidak bersetuju dengan kategori buku tersebut yang diletakkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia di bawah kategori wanita dalam politik dan politik serta kerajaan Malaysia, bukannya sebagai buku agama.
Sangeet: Adakah kamu setuju buku ini mengenai perjalanan peribadi Yeoh sebagai seorang ahli politik?
Harizal: Buku ini disebut sebagai perjalanan peribadi, tetapi tidak ada yang benar-benar peribadi apabila seseorang itu ahli politik.
Sangeet: Adakah ahli politik tidak boleh mempunyai kepercayaan peribadi mereka sendiri?
Harizal: Ya (boleh), tetapi tidak boleh bawa kepercayaan lawan Perlembagaan Persekutuan (yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi Malaysia) dan titah Yang di-Pertuan Agong.
Ketika ditanya mengenai ketiadaan tindakan terhadap Yeoh sehingga kini, Harizal berkata:
"Itu apa kita usahakan, malang sekali (tiada tindakan oleh pihak berkuasa terhadap Yeoh setakat ini)."
Harizal yang juga pengurus media sosial itu mengulangi keyakinannya Yeoh akan berada dalam penjara jika bukunya secara jelas menyatakan agenda keagamaan.
“Jika seseorang tidak menyebarkan agama, maka tidak ada masalah.
“Tapi kalau kamu sebar luas dan kamu menteri dan kamu ahli politik dengan cita-cita politik dan ahli parti politik kerajaan sekarang. Itu merisaukan."
Untuk rekod, Yeoh konsisten menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bukunya hanyalah biografi peribadi mengenai perjalanannya dalam politik, tanpa sebarang agenda untuk mengkristiankan umat Islam.
‘Buku ini tak pernah jadi masalah’ – Sangeet
Sangeet seterusnya menyoal Harizal berhubung latar belakang politik Malaysia sejak buku itu diterbitkan.
Sangeet: Tuan setuju (sejak buku ini diterbitkan pada 2014), di dalam negara kita. Perdana menteri, menteri KDN, dan ketua polis negara di Malaysia adalah Muslim?
Harizal: Setuju.
Sangeet: Buku ini tidak jadi masalah bagi mereka kerana tidak diharamkan?
Harizal: Saya tidak setuju.
Ketika Sangeet menyoal balas saksi mengenai kelayakannya, Harizal menegaskan melalui Iksim, dia bekerjasama rapat bukan sahaja dengan polis, tetapi juga terlibat secara langsung dengan menteri dalam membentangkan kertas kerja kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja.
Keterangan Harizal diberikan dalam konteks sebagai salah seorang rakan Kamarul yang tidak puas hati berhubung buku Yeoh.
Perbicaraan di hadapan Hakim Aliza Sulaiman selesai pada petang ini, dengan keputusan dijadualkan pada 30 Mei.
Kes ‘agenda Kristian’
Yeoh memfailkan saman fitnah terhadap Kamarul pada Februari 2022 berhubung dua hantaran Facebook bertarikh 10 dan 17 Mei 2017.
Menariknya, pada 17 Mei 2017, Kamarul turut membuat laporan polis terhadap Yeoh berhubung bukunya, mendakwa bahawa dia cuba menyebarkan agenda Kristian.
Dua hantaran Facebook itu bertajuk:
1. “Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP”
2. “Laporan polis saya terhadap Hannah Yeoh”
Yeoh mendakwa kedua-dua hantaran tersebut tidak bertanggungjawab, berniat jahat dan diterbitkan secara sengaja untuk membangkitkan kebencian dan kemarahan terhadapnya.
Dia juga menuduh Kamarul menyalahgunakan kedudukannya sebagai ahli akademik untuk mengeluarkan kenyataan bermotif politik terhadapnya.
Dalam saman ini, Yeoh menuntut:
Ganti rugi am, teruk, dan teladan
Penarikan balik kenyataan fitnah secara terbuka dan tanpa syarat
Permohonan maaf secara terbuka
Injuksi mahkamah bagi menghalang Kamarul daripada mengulangi dakwaan fitnah terhadapnya
Kamarul guna pembelaan justifikasi
Sebagai tindak balas, Kamarul menggunakan pembelaan justifikasi, mendakwa kenyataan yang dibuatnya itu benar.
Di bawah undang-undang sivil Malaysia, jika pembelaan justifikasi berjaya dibuktikan di mahkamah, maka ia akan menjadi pembelaan mutlak terhadap tuntutan saman fitnah.
Kamarul turut menafikan dua hantaran Facebooknya berniat untuk memfitnah Yeoh serta menolak dakwaan kenyataannya bermotif politik.
Sebelum ini, Kamarul juga pernah menyaman Yeoh atas hantaran Facebooknya, tetapi akhirnya menarik balik tindakan undang-undang tersebut.
Dalam kes ini, Kamarul diwakili peguam Khairul Azam Abdul Aziz.
Ulasan
Catat Ulasan