As-Sabiqun penting titip pengalaman gerak kerja parti


As-Sabiqun penting titip pengalaman gerak kerja parti
February 9, 2025

GOMBAK: As-Sabiqun Selangor terus memperkukuh peranan sebagai tunjang pengalaman PAS dalam usaha menggerakkan penyatuan ummah dan meningkatkan sokongan politik di peringkat akar umbi.

Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, golongan veteran PAS perlu lebih proaktif dalam mendekati masyarakat khususnya pemimpin berpengaruh di kawasan mereka.

“Hal demikian bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti. Kita mahu melihat As-Sabiqun bukan sekadar dikenali, tetapi dihormati kerana ilmu dan peranan mereka dalam masyarakat.

“Sudah tiba masanya untuk turun ke lapangan, menziarahi dan mendekati golongan berpengaruh yang boleh membantu perjuangan ini,” katanya dalam ucapan Hari Sidang As-Sabiqun Selangor 2.0 di Dewan Cataleya Glass Hall, Batu Caves, di sini semalam.

Selain itu, beliau turut menyentuh kepentingan meningkatkan sokongan pengundi Melayu, dengan menjadikan Umno sebagai sasaran utama dalam usaha penyatuan ummah.

“Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, 69 hingga 70 peratus pengundi Melayu keluar mengundi, membantu PAS menang 43 kerusi.

“Kita mahu lonjakkan angka ini kepada 80 peratus dan ini hanya boleh dicapai jika kita berjaya mendekati mereka dengan strategi yang betul,” katanya.

Timbalan Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat, Ismail Mohamad pula dalam ucapannya berkata, program itu menjadi medan pertemuan golongan veteran PAS untuk memperkukuh ukhuwah.

Juga tegasnya, untuk meneruskan perjuangan Islam sehingga ke penghujung hayat kerana perjuangan itu berlandaskan kecintaan kepada Allah SWT dan keikhlasan dalam mempertahankan Islam.

“Kita berhimpun atas dasar cinta kepada Allah. Ini adalah himpunan sebenar yang menhimpunkan hati yang penuh kasih dan cinta kepada Islam, serta sanggup mengorbankan masa dan tenaga sehingga ke penghujung hayat,” katanya.

Ismail turut menyeru agar ahli As-Sabiqun terus beristiqamah dalam perjuangan dan memohon kepada Allah SWT agar meneguhkan hati mereka serta mengingatkan bahawa ukhuwah yang terbina hari ini bukan hanya di dunia, tetapi juga di akhirat.

“Insya-Allah, kita akan bertemu kembali bukan hanya di dunia tetapi di akhirat nanti. Itu janji Nabi Muhammad SAW,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/2/2025Ismail Mohamad

Ulasan