

Berita
Asri sedia bertempur: ‘Jika dia jual, insya-Allah saya beli’
Diterbitkan: Feb 6, 2025 2:05 PM
Dikemaskini: 3:29 PM
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kesediaannya untuk “bertempur” dengan seorang anggota parlimen DAP.
Kenyataan keras itu dikeluarkan susulan programnya di Perlis dipersoal, dipercayai merujuk kepada konvensyen agama yang melibatkan penyertaan penceramah kontroversi Zakir Naik.
“Namun, jika MP DAP itu ingin sangat menjual, saya insya-Allah akan membeli seperti yang pernah saya beli ketika 'gemulah politik DAP' yang lepas menjualnya,” katanya.
Semalam, di bangunan parlimen, RSN Rayer (PH-Jelutong) mempertikaikan kemunculan semula Zakir, yang diburu pihak berkuasa di India, yang sebelum ini dilarang berceramah di Malaysia.
Polis pada Ogos 2019 mengeluarkan arahan kepada semua kontinjen negeri melarang Zakir daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.

Larangan itu dikuatkuasakan selepas Zakir dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai orang Hindu dan Cina di Malaysia dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Ogos 2019.
Terdahulu, tujuh negeri melarang ceramah Zakir, iaitu Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.
Dalam status di Facebook hari ini, tanpa menyebut nama secara khusus, Asri berkata dia merasakan anggota parlimen itu berhasrat untuk kembali “bertempur” dengannya.
Dia menyamakan episod baru ini seperti pertikaiannya dengan bekas pemimpin lantang DAP P Ramasamy yang digelarnya sebagai “gemulah (arwah) politik”
Ramasamysebelum ini bertelagah dengan Asri yang mengaitkannya dengan kumpulan bersenjata Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.
Asri juga mendedahkan dia berdiam diri sebelum ini, termasuk beberapa kes yang membabitkan DAP, kerana menghormati Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kestabilan negara.
Selain itu, katanya, dia juga berbuat demikian kerana terdapat juga kepimpinan DAP yang menghormati sensitiviti rakyat negara ini.
Perlis dua minggu lalu menjadi tuan rumah untuk program Konvensyen Sunah Antarabangsa Perlis yang turut melibatkan pelbagai penceramah dan sarjana luar negara.
Program bertemakan al-Quran sebagai panduan ilahi tajaan Majlis Agama Islam Perlis (Maips) itu turut melibatkan Zakir yang menyampaikan ceramah berkaitan al-Quran dan sains moden.
Ulasan
Catat Ulasan