

Berita
PANDUANKINI | Apa sebenarnya garis panduan acara agama yang heboh itu?
Diterbitkan: Feb 6, 2025 9:00 PMMenteri agama Na'im Mokhtar mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru berkaitan penglibatan orang Islam dalam acara keagamaan bukan Islam.
Rancangan itu menimbulkan bantahan keras pelbagai pihak, khususnya daripada pemimpin bukan Islam. Namun, apa sebenarnya garis panduan itu?
Di bawah soalan dan jawapan-jawapan berkaitan:
Bagaimana isu ini muncul?
Semuanya berpunca daripada jawapan bertulis Na'im kepada Dewan Rakyat semalam bagi menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PAS-Permatang Pauh).
Muhammad Fawwaz (gambar bawah) meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian dan ketetapan kerajaan mengenai sambutan perayaan agama lain selain Islam di premis kerajaan.

Soalan itu ditanya atas alasan orang Islam yang perlu menjaga akidah, pada masa yang sama memelihara perpaduan pelbagai kaum.
Soalan itu dipercayai berkaitan dengan kontroversi sambutan perayaan Krismas di bangunan kerajaan—Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan—yang dipimpin oleh Nga Kor Ming (DAP).
Apa jawapan Na’im?
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na'im Mokhtar menjelaskan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengeluarkan beberapa garis panduan berkaitan perkara itu, termasuk:
1. “Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam”, diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (MKI) ke-68 pada 12 April 2005.
2. “Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam dalam Media Baharu”, terbitan Jakim 2024.

Dia juga berkata Jakim sedang memuktamadkan garis panduan khusus melibatkan penglibatan orang Islam dalam perayaan dan upacara kematian bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Garis panduan ini dirangka supaya penglibatan orang Islam dalam majlis sebegitu tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, seperti:
Ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agamanya.
Persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
Pelaksanaan majlis dalam tempoh ibadah umat Islam seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat.
Lokasi majlis tidak berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam dan tanah wakaf.
Premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.
Apa lagi yang dicadangkan?
Turut dicadangkan supaya penganjur mendapatkan kebenaran pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam, jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam.
Ia hendaklah dibuat sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
Apa lagi dalam garis panduan lama yang tidak dinyatakan Na’im?
“Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam” menetapkan tiga kriteria utama yang perlu dipatuhi:
Kriteria 1: Tiada upacara bercanggah akidah Islam
Dokumen ini mentakrifkan "bertentangan dengan akidah Islam" sebagai sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan boleh mencemarkan akidah umat Islam.
Contohnya, majlis tidak sepatutnya mengandungi simbol agama seperti salib, lilin, atau pokok Krismas, serta tidak boleh mempunyai nyanyian lagu keagamaan atau ucapan yang memuji agama bukan Islam.

Kriteria 2: Tiada tindakan yang bertentangan Syarak
“Bertentangan dengan syarak” bermaksud perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Contohnya:
- Memakai pakaian merah seperti Santa Claus atau pakaian agama lain.
- Menyediakan makanan atau minuman yang memabukkan.
- Hiasan seperti loceng gereja, pokok Krismas atau memecahkan kelapa.
- Acara yang mengandungi unsur perjudian atau penyembahan.
Dokumen ini tidak menjelaskan sama ada larangan berpakaian hanya terpakai kepada umat Islam sahaja, atau jika mereka tidak boleh menghadiri acara yang mempunyai pakaian tersebut.
Kriteria 3: Acara tidak bercanggah dengan akhlak dan budaya Islam
Contohnya:
Pergaulan bebas tanpa batas.
Pakaian tidak sopan.
Muzik dengan lirik penyembahan atau tidak senonoh.
Pertandingan ratu cantik atau sabung ayam.
Kriteria 4: Acara dilarang sentuh sensitiviti umat Islam
Perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang dilakukan tidak boleh menyinggung perasaan umat Islam mengenai kepercayaan dan amalan mereka.
Contohnya:
Ucapan atau lagu yang mempromosikan agama bukan Islam.
Ucapan yang menghina Islam atau umat Islam.
Persembahan yang bertujuan menghina Islam.
Apa dijangka dari garis panduan baru Ini?
Setakat ini, butirannya belum didedahkan.
Bila garis panduan aaru akan dimuktamadkan?
Ia akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-126, yang dijadual bersidang pada 25 hingga 27 Februari ini.
Apa akan jadi dengan garispanduan lama?
Bahagian daripada garis panduan lama masih boleh digunakan sekiranya tidak bercanggah dengan garis panduan baru yang sedang dirangka.
Siapa bantah dan kenapa?

Presiden MCA, Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata cadangan ini sepatutnya diperhalusi oleh kabinet terlebih dahulu sebelum diumumkan.
Timbalan Presiden MIC, M Saravanan menasihatkan Na’im Mokhtar supaya lebih berhati-hati dalam menangani isu sensitif ini kerana boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.
Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, pula mendakwa kerajaan sedang membina tembok pemisah antara Islam dan bukan Islam.
Ada tak pemimpin Melayu bantah?
Ya. Syahredzan Johan (DAP-Bangi) berkata garis panduan ini akan menjejaskan wakil rakyat Islam yang sering dijemput menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Menurutnya, mereka menghadiri majlis itu bukan untuk beribadat, tetapi sebagai wakil rakyat yang menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.
Ulasan
Catat Ulasan