

Berita
Polis siasat himpunan keluarga tahanan Sosma depan Penjara Sg Buloh
Diterbitkan: Feb 9, 2025 12:19 PM
Dikemaskini: 12:35 PM
Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang berhimpun dan melancarkan mogok lapar di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Mohd Hafiz Mohammad Nor berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Semasa pemantauan pihak polis di lokasi kejadian terdapat lebih kurang 40 hingga 50 orang peserta termasuk kanak-kanak lelaki dan perempuan sedang berkumpul.
“Dan (mereka) memegang plakad yang bertulis ‘tolong selamatkan suami saya dari Sosma’, ‘hapuskan Akta Sosma’, ‘bebaskan tahanan Sosma free Sosma detainees! abolish sosma! dan we demand justice’,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya hasil risikan awal mendapati keluarga tahanan Sosma berkenaan berhimpun bagi menggesa kerajaan memansuhkan akta berkenaan.
“Kesemua individu yang sedang dikenalpasti terlibat dalam perhimpunan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya lagi, pihak penganjur boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 sekiranya tidak mengemukakan notis untuk mengadakan perhimpunan.
Semalam Malaysiakini melaporkan peserta himpunan itu menuntut kerajaan dan pihak penjara membenarkan mereka melawat serta memeriksa keadaan tahanan, yang dikatakan turut memulakan mogok lapar di dalam penjara.
Wakil kumpulan tersebut, M Logesvaran, 49, yang abang sulungnya merupakan salah seorang daripada 32 tahanan, berkata mereka dimaklumkan lawatan keluarga ke penjara pada hujung minggu ini dibatalkan.
"Apabila saya datang ke penjara pagi ini, seorang pegawai memberitahu saya bahawa tahanan Sosma telah melancarkan mogok lapar atau apa yang mereka sebut sebagai ‘tahan lapar’,” katanya.
Mereka dibantu kumpulan hak asasi manusia, Suaram, yang menuntut kerajaan membebaskan tahanan dengan jaminan.
Mohd Hafiz berkata pihaknya menasihati orang ramai agar tidak melakukan sebarang perkara serta tindakan yang menyalahi undang-undang.
Menurutnya, mereka yang mempunyai maklumat berhubung perhimpunan itu diminta ke balai polis yang berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurliyana Shariffuddin di talian 010-8435654.
Ulasan
Catat Ulasan