Bukti kerajaan tidak berprinsip pertahan syariat Islam


Bukti kerajaan tidak berprinsip pertahan syariat Islam
February 9, 2025

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) ingin menzahirkan kekesalan di atas kenyataan Perdana Menteri yang menarik balik cadangan Garis Panduan berkenaan keterlibatan umat Islam dalam majlis perayaan mahupun program di rumah ibadat agama lain.

Persoalan utama adalah mengapa Kerajaan tidak bertegas dalam soal ini setelah menerima kecaman daripada rakan sekutu yang bukan beragama Islam?

DUPP menegaskan bahawa cadangan Garis Panduan sedemikian adalah wajar kerana mahu memelihara akidah umat Islam. Bahkan juga memberikan isyarat yang jelas terhadap mana-mana pihak yang mahu menganjurkan aktiviti melibatkan keagamaan.

Langkah sedemikian jauh daripada sangkaan sesetengah ahli politik DAP yang menganggap Garis Panduan tersebut boleh membawa kepada perpecahan kaum dalam negara?

Apakah DAP ingin mengatakan Islam sebagai agama pemecah belah masyarakat? Mengapa sebegini biadap dan lantang sekali mereka menentang syariat Islam yang tidak ada kena mengena dengan periuk nasi mereka?

DUPP juga ingin bertanya apakah mereka yang masih memiliki jiwa dan kasih terhadap agama dalam kalangan pakatan PH-BN hari ini tidak mahu bertegas dalam soal ini?

Sangat dikesali satu demi satu isu berbangkit melibatkan kesucian agama yang ternoda, tetapi mereka hanya memandang sebelah mata demi jawatan dan kerusi kerja yang empuk.

Eloklah digantikan kemejamu dengan kain kapan!

Sekian.

USTAZ DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/2/2025

Ulasan