Chegubard dipanggil polis ke Bukit Aman



Berita
Chegubard dipanggil polis ke Bukit Aman

Diterbitkan: Feb 12, 2025 10:06 AM
Dikemaskini: 10:06 AM

Polis memanggil Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, ke Bukit Aman berhubung hantaran Facebook mengenai keadaan kesihatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata, Badrul Hisham disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).

Rafique berkata dia akan menemani ahli politik terbabit – yang juga dikenali sebagai Chegubard – semasa pertemuan dengan pegawai penyiasat petang ini sebelum mereka akan mengadakan sidang media berhampiran pintu masuk utama Bukit Aman.

Katanya Badrul Hisham dipanggil terkait hantaran yang menyebut beberapa isu kesihatan Sultan Ibrahim yang didakwa membimbangkan.

Dia juga mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dijemput ke mesyuarat pramajlis Majlis Raja-Raja Melayu pada minggu lepas.

Seksyen 4(1) Akta Hasutan menetapkan kesalahan berkaitan tindakan dengan kecenderungan menghasut. Ia membawa hukuman denda maksimum RM5,000, atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 500 dan 505(b) Kanun Keseksaan menetapkan kesalahan berkaitan fitnah dan kenyataan yang membawa kepada kerosakan awam, manakala Seksyen 233 CMA adalah ke atas penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Ulasan