Curi beg tangan di majlis perkahwinan, dua warga emas direman


Curi beg tangan di majlis perkahwinan, dua warga emas direman

17 Februari 2025 02:00pm
Masa membaca: 1 minit

Dua warga emas ditahan reman selepas disyaki mencuri beg tangan di majlis perkahwinan.

Pasir Mas - Dua warga emas ditahan reman empat hari bermula Isnin selepas dipercayai terbabit dalam kes curi beg tangan mengandungi wang tunai RM2,500 di majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan di sini pada 1 Februari lalu.

Perintah tahanan reman terhadap suspek wanita dan lelaki masing-masing berusia 61 dan 62 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani pada Isnin.

Kedua-dua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Sebelum ini tular di media sosial seorang warga emas wanita menyamar sebagai tetamu dan mengambil beg tangan yang mengandungi wang tunai dalam satu majlis perkahwinan.

Berdasarkan video rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 38 saat yang tular, warga emas itu dilihat memakai baju kurung dan bertudung sebelum disyaki mengambil beg dipercayai milik saudara tuan rumah.

Media turut melaporkan, polis menahan dua warga emas yang berada dalam sebuah teksi dipandu suspek lelaki di Jalan Sri Cemerlang pada 5.04 petang.

Siasatan lanjut ke atas wanita terbabit mendapati ada sembilan rekod jenayah lampau termasuk di Terengganu manakala warga emas lelaki mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun, ujian urin ke atas kedua-suspek didapati negatif.

Ulasan