DHPP buka Pusat Khidmat Masyarakat di Melaka


DHPP buka Pusat Khidmat Masyarakat di Melaka
February 24, 2025

N Balasubramaniam (empat dari kanan) di depan Pusat Khidmat Masyarakat DHPP.

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Melaka mencipta sejarah dengan penubuhan Pusat Khidmat Masyarakat DHPP yang pertama di negara ini.

Pencapaian itu menandakan satu langkah penting dalam usaha berterusan DHPP untuk berkhidmat kepada rakyat serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Ketua DHPP Pusat, N Balasubramaniam berkata, sejak penubuhannya pada 2002, DHPP memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat serta memberikan khidmat yang dedikasi kepada rakyat.

“Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan pada 2004, dinaik taraf menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS pada 2010.

“Pada 2018, dewan ini secara rasmi dinamakan semula dan ditubuhkan sebagai Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) bagi mencerminkan peranan dan tanggungjawabnya yang semakin luas dalam PAS.

“DHPP ditubuhkan untuk mewakili serta memperjuangkan kepentingan masyarakat bukan Islam dalam PAS di samping memperkukuhkan keharmonian negara.

“Kami berpegang teguh kepada prinsip perpaduan, kesejahteraan bersama, dan perlindungan hak semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Seiring dengan perkembangan DHPP, kami kini dalam proses untuk menjadi Ahli Bersekutu PAS, sekali gus mengukuhkan lagi peranan serta kedudukan kami dalam struktur parti,” katanya dalam kenyataan.

Majlis perasmian ini diserikan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin utama PAS Melaka, termasuk Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin. – HARAKAHDAILY 24/2/2025

Ulasan