
Gaza akan menjadi kubur terbesar tentera Amerika dalam sejarah!
February 8, 2025
TAUFAN al Aqsa selama 15 bulan tidak mampu memberikan kesedaran kepada ahzab moden yang bahawa ada sekelompok umat Islam jiwa mereka mencintai kematian.
Gaza menoreh sejarah emas. Tentera Al Qassam, sayap tentera HAMAS, memberikan pukulan maut kepada tentera penjajah Israel sehingga sanggup menerima gencatan senjata.
Amerika Syarikat, dengan membuncah kesombongan sebagai kuasa adijagat dunia, merasa tertampar dengan kekuatan pejuang Islam yang sedang berjuang membebaskan bumi israk yang merupakan tanah suci umat Islam.
Negara Uncle Sam ini tidak pernah mahu belajar daripada sejarah akibat arogansi mereka. Perang menentang komunisme dalam dekad 1960-an, mengheret Amerika campur tangan di negara Vietnam. Kuasa Perancis ditewaskan oleh pejuang Vietnam dalam pertemuan sengit di Dhien Vien Phu.
Tertampar malu dengan imej kuasa penjajah, penjajah yang pernah mengepalai Perang Salib itu berundur dari Vietnam dengan hanya mampu mewariskan roti Perancis yang sehingga kini digemari oleh masyarakat Vietnam!
Amerika Syarikat datang untuk mencampuri urusan negara Vietnam kononnya bagi mencegah Vietcong menguasai Vietnam Selatan seterusnya menghalang teori domino berlaku. Dunia waktu itu sedang dipecahkan oleh dua blok, kapitalisme dan negara yang diperintah oleh ideologi komunisme.
Era perang dingin ini menjadikan hubungan diplomatik sangat rapuh; perang dan kekacauan berlaku di pelbagai belahan dunia.
Campur tangan Amerika juga menyebabkan bantahan awam di negaranya, kampus-kampus universiti menyala dengan semangat anak muda seiring dengan membuncahnya muzik rock, blues dan raggae dengan kemuncaknya pesta Woodstock sebagai lambang protes budaya anak muda di Amerika.
Hampir 300,000 tentera Amerika dikerah berperang di Vietnam tanpa anak muda berbaju hijau ini sempat menghadami mengapa darah mereka perlu ditumpahkan percuma bak darah kerbau yang tiada nilainya.
Anak-anak muda meninggalkan keseronokan zaman muda bohemian di negara paling maju dalam abad 20 untuk diintai peluru tentera Vietcong, diratah perangkap musuh di terowong Thuci. Dalam keseronokan mencelapak gadis-gadis muda Vietnam juga kadang-kadang, nyawa pemuda-pemuda Amerika ini boleh melayang.
Di Vietnam mereka kerugian berbilion dollar berdepan dengan komunis Vietnam dan Vietcong. Ribuan yang terbunuh, ribuan yang cacat kekal seterusnya menanggung malu seumur hidup akibat perang dilahan milik orang lain yang akhirnya ditutup dengan aksi heroik dalam filem-filem Hollywood seperti Rambo, Platoon dan puluhan filem genre perang yang lain.
Bantahan awam isu Vietnam yang menjadi paku pada keranda keangkuhan Amerika; tahun 1975 Amerika tiada pilihan melainkan mengundurkan tentera secara total setelah ditewaskan oleh strategi gerila sang General Nguyen Giap.
Dampaknya, Vietnam disatukan atas ideologi komunisme sehingga sekarang bahkan menjadi mercu tanda kekalahan Amerika.
Amerika juga cuba mencampuri krisis di Teluk, antara negara yang mereka cerobohi ialah Iraq dalam dasawarsa 1990-an.
Iraq, sebuah negara tamadun tua yang kaya dengan khazanah minyak dan gas, menjadi pertapakan tamadun Mesopothamia, juga tertegaknya kerajaan Abbasiyah. Iraq di bawah Parti Baath yang dipimpin oleh Saddam Husein diganyang oleh Amerika sehingga negara Arab yang moden ini menjadi padang jarak padang tekukur. Amerika sanggup membayar dengan harga yang mahal untuk menguasai Iraq serta menumbangkan Saddam walaupun kehilangan beribu nyawa anggota tenteranya.
Tidak cukup dengan itu, Amerika campur tangan pula di Afghanistan pada tahun 2001, impak daripada tragedi 11 September 2001. Mereka menuduh kerajaan Taliban menyembunyikan pemimpin Al Qaeda, Usamah Bin Laden. Negara arogan ini tidak pernah belajar daripada sejarah bagaimana negara pusara penjajah ini pernah membenamkan kuasa British pada tahun 1921, seterusnya mengalahkan Komunis Soviet pada tahun 1989. Etnik Pashtun, Uzbek, Tajik, Balouch dan Hazara adalah manusia berhati kering yang mampu menebuk bukit serta gunung.
Selama dua dekad perang Amerika di tanah Khurasan ini dengan curahan wang yang hangus sekitar lapan trilion dollar, tidak sedikit tentera Amerika menggeletak terbunuh akibat kesilapan pemimpin mereka mencatur polisi luar negara.
Penulis menjadi saksi mata kekalahan Amerika yang memalukan kepada anggota Taliban berkurta yang berkaki ayam atau sepatu buruk yang memikul AK47 dan Bazooka sehingga menghentam aset tentera paling kuat di dunia moden.
Tentera Amerika berkubu dalam kem yang dibina berlapis-lapis benteng, melambangkan ketakutan serangan mujahidin serta laskar muda Taliban.
Dua dekad penjarahan yang meninggalkan parut yang paling sadis, kemiskinan tegar yang merobek nurani kita yang menyaksikan serta kejahilan rakyat Afghanistan akibat robeknya sistem pendidikan.
Karakter ‘polis dunia’ Amerika sangat menjengkelkan, lagak Donald Trump yang merayakan kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden mendorong sikap angkuh dan mengkesampingkan sejarah jerih tentera mereka di Vietnam, Afghanistan, Iraq Amerika Latin dan Afrika.
Paman Sam begitu sakit hati melihat ketidakmampuan Israel menakluki bumi Gaza. Amerika tidak mempedulikan bantahan dunia, bahkan sebahagian negara sekutu mereka pun tidak bersetuju dengan idea gila Trump. Jordan dan Mesir tidak bersetuju idea mengosongkan Gaza untuk dibangunkan penempatan baru termasuk menjadikan Pantai Gaza sebagai pusat peranginan penting di belahan Timur Tengah.
Percayalah, Amerika akan mengulangi kekalahan memalukan mereka di Vietnam, Afghanistan dan negara lain.
Pejuang Palestin mempunyai motif yang kukuh untuk mereka membebaskan setiap inci ardhul anbiya’. Anak-anak muda yang menyarungi uniform tentera Amerika tidak mempunyai asas kukuh untuk mengapa mereka hendak datang menjarah tanah Palestin, sedangkan Israel yang dibantu Ahzab moden pun tewas dalam melemahkan semangat warga Gaza.
Penulis teringat Bob Marley bersenandung lagu ‘Buffalo Soldier’, lagu bergenre raggae itu menjadi siulan anak-anak muda Barat dalam protes sosial mereka terhadap penjarahan Amerika di Vietnam lima dekad lampau.
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 8/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan