Hujan berterusan, Tanah Merah dan Kuala Krai dinaiki air


Hujan berterusan, Tanah Merah dan Kuala Krai dinaiki air
Oleh Hazira Ahmad Zaidi - Februari 25, 2025 @ 10:51am
Anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Krai melakukan tinjauan di Jalan Bukit Sireh ke Kampung Bedal yang dinaiki air susulan hujan lebat sejak dua hari lalu. - 
KUALA KRAI: Hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan beberapa kawasan sekitar Tanah Merah dan Kuala Krai mula dinaiki air.

Bagaimanapun setakat ini masih belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.

Penduduk Kampung Temalir, Ridzuan Mohd Noor, 34, berkata hujan lebat yang berterusan menyebabkan mereka sekeluarga berjaga-jaga disebabkan peningkatan paras air sungai yang berdekatan dengan kediamannya.

"Sekiranya hujan masih lagi belum berhenti, besar kemungkinan kami akan terputus hubungan disebabkan jambatan dan jalan kampung yang digunakan sebagai laluan utama ditenggelami banjir.

"Semoga hujan akan segera reda supaya paras sungai tidak bertambah," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Juniman Junoh berkata, pemantauan yang dilakukan setakat pada pagi tadi mendapati beberapa kawasan rendah sudah dinaiki air iaitu di Kampung Keroh, laluan masuk ke Ladang Pasir Gajah dan Jalan Bukit Sireh ke Kampung Bedal yang kini ditutup oleh semua kenderaan.

"Paras air sungai kini dalam trend menaik dan sehingga kini hujan masih lebat.

"Setakat ini keadaan terkawal, dan tiada sebarang proses pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) dijalankan.

"Walau bagaimanapun, semua pihak perlu dalam keadaan bersedia selain saya juga memohon penduduk yang berada di kawasan rendah supaya bersiap sedia sekiranya diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa agar tiada berlaku sebarang insiden yang tidak diingini," katanya.

Ulasan