

Pengumuman
Garis panduan Islam perlu untuk bantu masyarakat lebih harmoni
Diterbitkan: Feb 21, 2025 10:32 AM
Dikemaskini: 11:59 AM
Cadangan mewujudkan garis panduan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang selain Islam baru-baru ini tidak sepatutnya mencetuskan polemik kerana peraturan seumpama itu sudah ada di peringkat negeri seawal 2005.
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Dr Muhammad Nur Manuty berkata, adalah menjadi keperluan untuk garis panduan tersebut diperbaiki supaya masyarakat boleh membezakan antara ritual acara sesuatu agama dengan kebudayaan.
“Peraturan (garis panduan) oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sudah wujud sejak 2005. Kena ada supaya umat Islam di negara ini tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan pada acara berkenaan.
“Pengetahuan sebahagian umat Islam di negara ini mengenai agama berbeza agak rendah kecuali golongan yang mempelajari kursus-kursus khusus Islam di universiti ataupun kolej untuk mata pelajaran seperti Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) - tetapi subjek itu telah dihapuskan.
“Mungkin seseorang Muslim itu tidak boleh membezakan antara batasan dengan pegangan akidah yang boleh menimbulkan syirik atau perkara berdosa di sisi Islam seperti dibincangkan ulama atau ilmuan.

“Ini dikhuatiri boleh mencemarkan akidah seseorang kerana akidah itu sangat berharga buat Muslim,” katanya.
Tambah beliau, umat Islam perlu berusaha untuk memahami agama lain sebagai salah satu jalan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan toleransi.
Menurutnya, dengan pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam, mereka dapat menghormati perbezaan antara kaum selain membina hubungan yang lebih baik dengan masyarakat berbeza agama.
“Kena ambil tahu hal agama lain iaitu nilai boleh berkongsi bersama, doktrin (tauhid), syariah (halal dan haram) serta hormat. Dalam al-Quran tertulis perintah supaya jangan menghina nama Tuhan selain Islam, tetapi hal itu tidak diajar di surau atau masjid.
“Selama ini pendidikan kita ada kekurangan (dalam konteks untuk menerangkan perbezaan atau persamaan nilai). Pengetahuan mengenai agama lain mesti ada dalam kalangan pelajar apa lagi di peringkat universiti dan seterusnya dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, tiada masalah jika pengkaji (beragama Islam) buat kajian di kuil, biara mahupun gurdwara jika iman mereka kuat seperti Tokoh Islam, al-Biruni yang mengkaji sejarah di India,” katanya.
Menurut Muhammad Nur, garis panduan tersebut sepatutnya tidak menimbulkan masalah kepada orang bukan Islam kerana ia hanya melibatkan umat Islam sahaja.
“Hanya untuk orang Islam. Kita dibenarkan melawat tempat ibadah selain Islam, bukan dilarang, tetapi harus mematuhi peraturan agama Islam.
“Buktinya, sudah berapa tahun jabatan agama dan jabatan pengajian dakwah di universiti melawat rumah ibadah bukan Islam, jadi kenapa perlunya isu ini disensasikan?” katanya.

Beliau pada masa sama mencadangkan, pihak berkuasa seperti MKI dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) mengadakan wacana atau majlis sosial semasa Ramadan mahupun Aidilfitri.
Pilihan lain, kata Muhammad Nur, ialah mengadakan sesi dialog untuk mengekalkan persaudaraan dan hubungan baik sesama bukan Islam.
Difahamkan, pihak yang berwajib telah merangka piagam harmoni sejak setahun lalu antara kaum dan agama untuk mengelak peristiwa salah faham yang berlaku setiap tahun dikurangkan sebanyak mungkin.
Ketika ini, kerajaan dilaporkan sedang mengkaji satu garis panduan baharu berhubung penyertaan orang Islam dalam perayaan dan pengebumian orang bukan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, garis panduan itu dibangunkan bagi menggalakkan perhubungan sosial dan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang agama di negara ini.
Ulasan
Catat Ulasan