Isu harga naik dan pembaziran di bulan puasa


Isu harga naik dan pembaziran di bulan puasa

25 Februari 2025 09:00am
Masa membaca: 2 minit

BEBERAPA hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Ramadan. Bulan yang penuh keberkatan itu pastinya ditunggu-tunggu bagi mereka yang berazam untuk mempertingkatkan amal ibadah.

Namun, setiap kali Ramadan, ada sahaja isu berulang yang menjadi rungutan masyarakat kita.

Antara rungutan yang dijangka kedengaran ialah berkaitan kenaikan harga barang keperluan harian. Mungkin disebabkan oleh permintaan yang meningkat menyebabkan bekalan terhad.

Situasi ini sudah tentu akan membebankan orang ramai terutama mereka yang mempunyai keluarga ramai.

Selain kenaikan harga barangan, isu pembaziran makanan juga sering menjadi topik bualan setiap kali Ramadan. Kewujudan bazar Ramadan yang menawarkan beraneka juadah mendorong orang ramai membeli secara berlebihan. Akhirnya banyak makanan tidak habis dimakan, dibuang begitu sahaja.

Satu lagi isu yang menjadi rungutan ialah kesesakan lalu lintas terutama menjelang waktu berbuka puasa. Ini berlaku apabila ramai yang berpusu-pusu pulang ke rumah atau ke bazar Ramadan menyebabkan jalan raya sesak.

Justeru, bagi menangani isu kenaikan harga barang, pihak berkuasa perlu lebih agresif turun padang membuat pemantauan agar tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga tidak munasabah. Orang ramai pula perlu berani melaporkan sebarang penyelewengan harga kepada pihak berwajib.

Bagi isu pembaziran makanan pula, kempen kesedaran perlu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat kita. Orang ramai perlu dididik dengan nilai kesederhanaan dan menyedarkan mereka mengenai dosa melakukan pembaziran. Penganjur bazar Ramadan juga boleh memainkan peranan menggalakkan peniaga menyumbangkan lebihan makanan kepada golongan memerlukan.

Sementara dalam menangani kesesakan lalu lintas pula, pihak berkuasa trafik boleh membantu mengawal atau menyediakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di kawasan tumpuan.

Sebenarnya, ketiga-tiga isu tersebut boleh diatasi dengan lebih berkesan apabila kita sendiri yang memainkan peranan. Tanamkan sikap bersederhana dalam berbelanja di bulan Ramadan.

Dengan tindakan proaktif pihak berwajib dengan disokong oleh kesedaran masyarakat, kita dapat melalui bulan mulia ini dengan penuh keberkatan tanpa sebarang rungutan.

Ulasan