

Berita
Jangan belit, Anwar - Bebaskan Najib jika dia tak salah, kata Latheefa
Diterbitkan: Feb 24, 2025 8:24 AMWAWANCARA l Perdana Menteri Anwar Ibrahim dicabar untuk membebaskan Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.
Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya melontarkan cabaran itu melalui episod kedua podcast Straight Talk terbitan Malaysiakini dan KiniTV, ketika diminta mengulas kenyataan Anwar sebelum ini.
Latheefa menyoal Anwar yang menyifatkan beberapa pendakwaan berprofil tinggi pada 2018 dilakukan secara “tergesa-gesa” dan dicemari oleh “racun dan permusuhan.”
"Siapa yang dia maksudkan? Siapakah kumpulan atau individu yang bertanggungjawab menjalankan dendam sebegitu?

"Adakah dia mempersoalkan integriti mahkamah? Berapa banyak hakim yang telah mendapati Najib bersalah dan menghukumnya?
"Jika anda mengatakan ini adalah pendakwaan yang berniat jahat, maka anda telah merendahkan keputusan mahkamah tertinggi.
"Jika itu kesnya, mengapa memberikan diskaun (mengurangkan hukuman)? Mengapa tidak bebaskan dia sahaja? Jika anda rasa ini salah sepenuhnya, berniat jahat, dan penuh racun, maka anda patut bebaskan dia, dia adalah mangsa.
"Tapi ini bukan begitu atau begini. Anda berikan diskaun 50 peratus, anda cipta (isu adendum) ini, dan kita masih belum selesai isu tahanan rumah. Kenapa separuh jalan? Sama ada dia mangsa atau tidak. Kenapa tidak lepaskan sahaja Najib?"

"Maksud saya, saya cabar dia untuk lepaskan Najib jika dia kata ini penuh racun.
“Ini adalah gaya tipikal perdana menteri untuk berbelit-belit tentang sesuatu yang dia boleh jawab dengan jelas atau patut jawab," katanya melalui program itu yang dihoskan oleh Dennis Ignatius.
Untuk rekod, pada 21 Disember lalu, Anwar ketika mengulas tentang pembebasan Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram, menegaskan dia tidak terlibat dalam keputusan mahkamah.
"Anda juga perlu tahu pada masa itu, pendakwaan dilakukan dengan tergesa-gesa, (dengan) racun, permusuhan dan dendam politik oleh pihak yang berkuasa ketika itu, sehingga banyak pendakwaan ada kelemahan," kata Anwar.
Latheefa merupakan Ketua SPRM dari Jun 2019 hingga Mac 2020.
Anwar kompromi kerana kuasa?
Menjawab soalan Ignatius mengapa beberapa pemimpin politik terlepas daripada hukuman, Latheefa berkata Anwar berkompromi kerana kuasa.
"Kuasa sememangnya, bagi saya, anda pada dasarnya telah menyertai dengan sokongan Umno. Umno terdiri daripada Zahid Hamidi, Najib, dan semua individu yang mempunyai kes-kes tertentu.

"Untuk anda kemudian mempunyai timbalan perdana menteri yang pernah menghadapi pelbagai tuduhan, apa yang kita harapkan? Ini adalah kedudukan yang berisiko yang anda letakkan diri anda sendiri."
"Siapa yang akan melakukan begitu? Hanya mereka yang tidak mempunyai prinsip," katanya.
Titah adendum bukan isu jika telus
Latheefa juga tidak yakin dengan kenyataan Anwar mengenai usaha membanteras rasuah.
"Saya tidak rasa ini adalah peperangan, ini lebih kepada teater untuk tatapan umum. Jika ini peperangan, kita tidak akan ada isu adendum, kita tidak akan ada diskaun untuk kes Najib, dan kita tidak akan ada Zahid sebagai timbalan perdana menteri yang menghadapi pelbagai tuduhan.
"Jika ini benar-benar peperangan, anda tidak akan hanya mengejar individu yang anda isytiharkan sebagai musuh atau anggap sebagai musuh. Ia kelihatan selektif," katanya.
Ketika ditanya pendapatnya mengenai isu titah adendum sebagai seorang peguam, Latheefa mendakwa Anwar mengelirukan orang awam.

"Adendum ini seharusnya tiada isu. Jika ada ketelusan, anda tidak akan menghadapi masalah ini. Jika anda mengatakan titah adendum itu dibuat selepas mesyuarat dengan Lembaga Pengampunan, maka anda boleh dengan jelas menyatakan bahawa titah adendum itu bukan sebahagian daripada keputusan Lembaga Pengampunan, itu sahaja.
"Tetapi, mengapa anda perlu berbelit-belit dan menghantarnya ke mahkamah hanya untuk mereka mengisytiharkan bahawa ia wujud? Jadi, ini adalah teater.
"Mungkin kerana jika anda mengatakannya dengan cara ini (titah adendum wujud), anda akan mengecewakan satu kumpulan, dan jika anda mengatakannya dengan cara itu (tidak wujud), anda akan mengecewakan kumpulan lain," katanya.
Ketika ditanya jika perdana menteri telah mengelirukan orang awam dalam isu ini, Latheefa bersetuju.
"Ya, dia telah melakukannya dan terus berbuat demikian," katanya.

Isu titah adendum berkaitan Najib mula timbul apabila terdapat spekulasi bahawa dokumen titah tambahan telah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, membenarkan Najib menjalani hukuman di bawah tahanan rumah dan bukan di penjara.
Namun, sehingga kini kerajaan dan Lembaga Pengampunan masih tidak mengesahkan kewujudan dokumen itu secara terbuka.
Anwar mendakwa dia tidak mempunyai maklumat mengenainya manakala Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pula menyokong tuntutan agar Najib dibenarkan menjalani hukuman di rumah.
DNAA Zahid: AG silap besar
Dalam pada itu, Latheefa menyuarakan kekecewaannya terhadap keputusan bekas peguam negara (AG), Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, yang menarik balik semua 47 tuduhan terhadap Zahid Hamidi.
"Pada zaman saya, cara kami menjalankan siasatan, SPRM akan memulakannya, dan semua bahan bukti sudah sedia untuk dibawa ke mahkamah. Kami akan membawa kertas siasatan ke Jabatan Peguam Negara (AGC), dan mereka akan menentukan sama ada ia mencukupi atau tidak, atau jika tiada kes. Itulah prosesnya.
"Bagaimana AG sekarang boleh mengatakan tiada kes sedangkan keseluruhan proses melibatkan AG sendiri?

"Apabila kami menyiasat, terutamanya apabila ia melibatkan seseorang seperti Zahid, kami perlu memastikan bahawa kami tidak melakukan sesuatu yang lemah, sembrono, atau dilihat sebagai menjalankan dendam politik.
"AG telah silap, dan ini sangat mengecewakan," katanya.
Zahid menghadapi 47 pertuduhan berkaitan kes Sistem Visa Asing (VLN), dengan dia didakwa menerima rasuah bernilai jutaan ringgit daripada syarikat yang terlibat dalam sistem tersebut ketika menjawat jawatan menteri dalam negeri.
Bagi kes Yayasan Akalbudi, Zahid turut dituduh menyalahgunakan dana yayasan kebajikan itu untuk kepentingan peribadi, termasuk membayar kad kredit serta membiayai polisi insurans keluarganya.
Kes-kes ini telah dibawa ke mahkamah, dengan beberapa saksi telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pun begitu, selepas AGC memfailkan permohonan menarik balik semua tuduhan maka Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 memutuskan untuk memberikan DNAA (lepas tanpa bebas daripada pertuduhan) kepada Zahid Hamidi.
Ulasan
Catat Ulasan