JDT kekal dominasi, sampai bila kelab Liga Super lain nak melopong?

JDT kekal dominasi, sampai bila kelab Liga Super lain nak melopong?

26 Februari 2025 08:00am
Masa membaca: 2 minit

Kejayaan JDT menjuarai Liga Super menyaksikan pasukan lain terus kempunan untuk cuba merampas kejuaraan domestik teratas negara itu buat tahun ke-11 berturut-turut.

KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai Liga Super menyaksikan pasukan lain terus kempunan untuk cuba merampas kejuaraan domestik teratas negara itu buat tahun ke-11 berturut-turut.

Dominasi JDT dalam saingan domestik sememangnya sukar digugat dengan kejayaan mereka menjuarai Liga Super musim ini selepas menewaskan Perak FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Isnin.

Biarpun berbaki empat perlawanan sebelum liga berakhir, namun ia tidak menghalang skuad Harimau Selatan itu menjuarai liga lebih awal dan gagal dicabar oleh pasukan lain.

Malah, ini bukan kali pertama JDT berjaya memenangi kejuaraan liga dengan empat baki perlawanan apabila mereka telah melakukannya pada 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2022.

Ia isyarat jelas menggambarkan kejaguhan Harimau Selatan dalam saingan domestik selain kualiti mereka untuk menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia yang sememangnya sukar digugat.


Justeru, berulang kali timbul persoalan sampai bila dominasi JDT ini mampu bertahan dan ada atau tidak pasukan yang mampu mencabar mereka.



Pemain JDT meraikan kemenangan menentang Perak sekali gus mempertahankan kejuaraan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.

Jawapannya sudah banyak kali dijawab baik dari sudut pandangan pemerhati sukan mahupun peminat sendiri yang pastinya boleh meramalkan bahawa penguasaan JDT itu akan terus kekal sekurang-kurangnya untuk tempoh yang agak panjang.

Tiada alasan lain buat pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) perlu mencari jalan untuk cuba mematahkan 'keegoan' JDT ini sekali gus memastikan Liga Super mempunyai juara baharu.

Walaupun kekuatan kewangan mungkin menjadi antara faktor JDT mampu mengekalkan penguasaan, namun mungkin terdapat beberapa faktor yang boleh menjadi pegangan pasukan lain untuk dicontohi terutama membentuk pengurusan kelab yang tepat selain mempunyai strategi jangka panjang dan bukan hanya berfokus kepada satu musim semata-mata.

Pasukan perlu cuba sedaya upaya menarik tajaan lumayan dan membelanjakan setiap ringgit di tempat yang betul, mendapatkan pemain yang berkualiti tinggi dan barisan pengurusan yang terbaik.

Jika dilihat, beberapa pasukan dalam saingan Liga Super seperti Selangor mempunyai antara kewangan yang agak kukuh, namun mereka masih belum mampu untuk mencabar JDT.

Bagaimanapun, perlu diakui usaha mereka untuk cuba mencabar JDT itu sudah ada dan akan memakan masa selain mereka perlu memperkemaskan struktur pasukan dan DNA bola sepak yang tepat sama seperti dilakukan JDT.

Tidak mahu tidak, kita akan terus melihat JDT terus bermaharajalela, namun dalam masa sama kita mahukan ada pergerakan oleh pasukan lain dalam terus memperbaiki segala kelemahan untuk cuba menyaingi JDT dalam tahun-tahun akan datang.

Ulasan