JE-SEZ dijangka mengubah pasaran hartanah Johor


JE-SEZ dijangka mengubah pasaran hartanah Johor
PEMAJU dengan bank tanah yang strategik dan kepakaran dalam pembangunan perindustrian berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pertumbuhan di Johor.
Oleh NURFARAHIN HUSSIN
24 Februari 2025, 9:15 am

PETALING JAYA: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan ketersambungan rentas sempadan yang lebih baik dijangka mengubah pasaran hartanah Johor, mewujudkan peluang yang belum pernah terjadi sebelumnya untuk pertumbuhan dan pelaburan, kata TA Securites Holdings Bhd.

Firma pembrokeran berkata, pemaju dengan bank tanah yang strategik, kepakaran dalam pembangunan perindustrian dan berorientasikan transit serta rekod prestasi yang kukuh dalam perbandaran bersepadu berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pertumbuhan ini.

Katanya, walaupun wujud cabaran, pihaknya percaya prospek jangka panjang bagi pasaran hartanah Johor kekal sangat optimistik.

“Kami baru-baru ini terlibat dalam libat urus dengan beberapa pemaju hartanah terkemuka di Johor, mencatatkan keyakinan mereka yang amat besar tentang prospek pasaran rantau ini.

“JS-SEZ bersedia untuk menjadi pemangkin transformatif, memacu permintaan industri dan kediaman yang besar.

“Lonjakan ini disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), peningkatan infrastruktur yang ketara dan pengukuhan ketersambungan rentas sempadan,” katanya dalam nota penyelidikan.

TA Securites berkata, pemilik tanah yang besar berpeluang mendapat manfaat daripada penilaian semula bank tanah yang ketara, didorong oleh minat pelabur yang semakin meningkat dalam taman perindustrian dan pembangunan bercampur.

Selain itu, antara yang diketengahkan pada lawatan tersebut adalah kebangkitan perindustrian dan pusat data.

“Walaupun sekatan eksport cip kederdasan buatan (AI) yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS), perbincangan dengan pembangun menunjukkan bahawa minat dan pertanyaan untuk tanah pusat data kekal kukuh, mencerminkan keyakinan berterusan daripada pemain teknologi global.

“Selain pusat data, tanah perindustrian juga mendapat permintaan tinggi.

“Industri pembuatan, logistik dan berteknologi tinggi memacu permintaan tanah perindustrian bukan berkaitan pusat data, yang memberi manfaat kepada pemilik tanah utama dan pemaju taman perindustrian,” ujarnya.-UTUSAN

Ulasan