Kenangan nasi lemak 50 sen di zaman persekolahan


Kenangan nasi lemak 50 sen di zaman persekolahan

25 Februari 2025 08:15am
Masa membaca: 2 minit

MEMBERI duit belanja kepada anak-anak untuk ke sekolah adalah salah perkara wajib bagi ibu bapa. Namun, berapa jumlah yang wajar untuk seorang anak?

Itu soalan yang ditimbulkan oleh seorang rakan Merak Jalanan. Anaknya baru masuk Tahun Satu. Menurut rakan Merak Jalanan ini, dia menyediakan RM5 setiap hari untuk anaknya berbelanja di sekolah rendah dan sekolah agama.


Bagi Merak Jalanan, melihat kos semakin meningkat sekarang, jumlah duit belanja juga perlu disesuaikan dengan keadaan semasa.

Untuk menentukan jumlah yang sesuai, ibu bapa perlu mengambil kira beberapa faktor, antaranya umur anak, jenis sekolah, lokasi sekolah serta keperluan harian anak.

Misalnya bagi pelajar sekolah rendah, jumlah duit belanja yang wajar mungkin RM6 hingga RM10 sehari merangkumi sekolah agama dan rendah, manakala untuk pelajar sekolah menengah, RM5 hingga RM10 sehari sudah memadai.

Ini bergantung pada keperluan mereka untuk membeli makanan, minuman, atau barang keperluan lain di sekolah. Ambil kira juga lokasi sekolah sama ada di kampung atau kawasan pedalaman.

Selain itu, ibu bapa perlu mengambil kira aktiviti kokurikulum anak yang mungkin memerlukan perbelanjaan tambahan. Jika anak terlibat dalam aktiviti sukan atau kelab, ibu bapa boleh memberi lebih sedikit duit belanja.

Merak Jalanan teringat zaman persekolahan dahulu. Nasi lemak sepinggan baru 50 sen. Bawa duit seringgit pun masih ada baki untuk disimpan beli komik Dragon Ball. Tapi zaman sekarang tidak boleh lagi.

Bagaimanapun, penting untuk ibu bapa memberi pendidikan kewangan kepada anak. Ajar mereka cara menguruskan duit belanja supaya mereka tidak boros dan tahu menilai wang.

Dengan cara ini, anak dapat menghargai duit yang diberikan dan bijak dalam berbelanja.

Ulasan