Kerugian banjir: Adakah rakyat akan terima pampasan?


Kerugian banjir: Adakah rakyat akan terima pampasan?
February 25, 2025

Dato’ Mumtaz Md Nawi

KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat), menggesa kerajaan untuk menjelaskan kerugian yang dialami akibat banjir pada tahun 2024 susulan kelewatan pelaksanaan projek tambatan banjir.

Beliau berkata, projek tersebut telah ditangguhkan sejak tahun 2022, walaupun kerajaan telah mengambil langkah mempercepatkannya melalui pelantikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan agensi berkaitan.

Namun, menurutnya sehingga kini, tiada perkembangan tuntas yang dapat dilihat dalam kesiapan projek berkenaan bagi menghadapi kemungkinan banjir pada tahun 2025.

“Saya ingin bertanya kepada kerajaan, tadi disebutkan ada keuntungan RM1.7 bilion hasil daripada penangguhan projek ini. Walau bagaimanapun, berapakah jumlah kerugian yang dialami akibat banjir 2024?

“Adakah rakyat di kawasan terjejas seperti Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang boleh dikompensi akibat daripada projek ini telah menyebabkan kerugian berganda daripada projek tempatan ini belum dibuat berbanding dengan yang ditangguhkan?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kesediaan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang, terutama bagi kawasan yang terlibat dengan bencana banjir.

“Kita dapati bahawa dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri memaklumkan bahawa peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang boleh diberikan tanpa syarat dan kita lihat YB Muar telah pun mengemukakan perbincangan dan sampai hari ini belum lagi terima sebarang peruntukan.

“Jadi soalan saya khusus kepada pihak dan semua ahli parlimen yang terlibat dengan banjir. Adakah kerajaan bersedia untuk memberikan peruntukan tanpa sebarang syarat bagi membantu menyelesaikan isu rakyat?” soalnya.

Menjawab pertanyaan itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, projek tebatan banjir fasa ketiga dijadualkan bermula pada 2027, namun usaha sedang dilakukan untuk mempercepatkannya bagi mengurangkan impak banjir yang berulang setiap tahun.

Beliau berkata, kerajaan juga mampu memberikan bantuan kepada semua rumah yang terjejas dan akan memastikan tiada pihak yang tercicir. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Ulasan