Laporan isu salah guna dadah perlu lebih tepat, adil



Laporan isu salah guna dadah perlu lebih tepat, adil
February 16, 2025

KUALA TERENGGANU: Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berpandangan masalah penyalahgunaan dadah adalah isu nasional yang perlu ditangani bersama dan tidak seharusnya dijadikan bahan politik.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri (KDN), Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyatakan bahawa negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis mencatat kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia.

“Jangan bergembira bila baca berita negeri itu tinggi atau negeri ini rendah kes dadah. Ia bukan isu politik kerana bahana dadah tak kenal siapa.

“Dulu dan kini ulasan saya tetap konsisten. Sama ada yang ditahan kerana dadah itu anak orang PH, Umno atau PAS, ia adalah sesuatu yang menyedihkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Menurutnya, kenyataan itu juga perlu dijelaskan dengan lebih tepat agar masyarakat mendapat gambaran sebenar mengenai situasi tersebut.

“Saya cadangkan supaya dikeluarkan kenyataan begini; “Jumlah sebenar penyalahgunaan dadah di Malaysia mengikut negeri, Selangor mencatatkan angka tertinggi dengan jumlah 21,385 kes bagi tahun 2024 diikuti Johor 18,703 kes”.

“Bagi statistik penyalahgunaan dadah dalam nisbah 100,000 penduduk, Kelantan berada ditempat teratas diikuti Terengganu, Kedah dan Perlis”.

“Kenyataan begini lebih adil dan bertanggungjawab. Saya teliti portal media perdana yang menyiarkan kenyataan Menteri KDN. Portal seperti Harian Metro tak menyatakan bahawa kenyataan Menteri itu adalah statistik bagi 100,000 penduduk.

“Maka kita bertanggungjawab untuk memperbetulkannya. Bila didedahkan angka sebenar mengikut negeri dari data AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan), barulah disebar luas bahawa kenyataan Menteri itu adalah statistik,” katanya.

Mengulas lanjut, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, kenyataan yang lebih menyeluruh perlu dibuat supaya tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat.

“Alhamdulillah, kita telah ambil tugas untuk dedahkan angka sebenar dan rakyat dapat gambaran situasi yang betul.

“Kita juga ada anak-anak yang sedang membesar dan memasuki usia remaja. Kita mohon kepada Allah agar dilindungi keluarga kita dari gejala yang menyedihkan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/2/2025

Ulasan