1.Tiada siapa menduga isu memasang khemah di kawasan pantai dalam Port Dickson membawa kepada gerakan untuk memboikot akibat dari penguatkuasaan yang menyukarkan pengunjung.
2. Isu bermula apabila isu perniaga 'khemah biru' yang memasang khemah di pantai di Port Dickson untuk disewa dan dalam masa yang sama ada sekatan oleh pihak-pihak tertentu yang menghalang menaikkan khemah sendiri.
3. Akhirnya, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengarahkan semua peniaga khemah biru di pantai Port Dickson menghentikan aktiviti perniagaan sewaan khemah mulai 18 November tahun lalu.
4. Rupa-rupanya, bukan sahaja khemah biru sahaja yang tidak dibenarkan tetapi termasuklah para pengunjung juga tidak dibenarkan memasang khemah masing-masing.
5. Larangan memasang khemah ini diwartakan oleh MPPD sahaja, setakat yang saya tahu. Mungkin disebabkan timbulnya kontroversi yang melibatkan peniaga khemah biru yang akhirnya untuk berlaku adil, maka semua pihak tidak boleh menaikkan khemah di kesemua pantai dalam kawasan MPPD.
6. Saya terpanggil untuk memberikan komentar setelah membaca laporan berita yang menyebut tentang larangan ini dibuat kerana untuk mengelakkan maksiat dan ia disebut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan. Katanya;
"Kalau tiada peraturan, kita lagi susah. Kalau tiba-tiba esok, ada kes rogol dalam khemah, yang dipersalahkan nanti pihak berkuasa tempatan(PBT) dan Menteri Besar kerana telah bagi kebenaran"
7. Walaupun antara alasan lain larangan ini dibuat adalah kerana faktor kebersihan tetapi media meletakkan faktor maksiat sebagai tajuk utama.
8. Saya hormat dengan alasan yang diberikan MB NS ini, beliau bimbang jika khemah dibenarkan didirikan oleh pengunjung maka kemungkinan akan berlakunya kes rogol di pantai PD.
9. Cuma saya agak musykil, selama ini pernahkah berlakunya kes rogol di pantai PD sebelum isu khemah biru di pantai PD? Realitinya, isu di PD ini bermula apabila terdapatnya penguasaan peniaga khemah biru di sana.
10. Saya cadangkan supaya MPPD boleh kemukakan cadangan yang lebih realistik.
a. Pertamanya, benarkan pengunjung untuk mendirikan khemah sementara mengikut spesifikasi yang dibenarkan.
b. Keduanya, bagi mengatasi masalah kebersihan, tingkatkan penguatkuasaan untuk memastikan apabila khemah dibuka, segala sampah-sarap telah dibersihkan.
c. Ketiga, tetapkan waktu yang dibenarkan khemah dipasang, contohnya bermula pukul 8 pagi sehingga 6 petang dan tidak dibenarkan pengunjung tidur di kawasan pantai kecuali kawasan yang telah diwartakan untuk memudahkan pengawasan.
11. Isu kebersihan pantai bukan hanya kerana khemah dipasang tetapi disebabkan juga kerana sikap para pengunjung sendiri yang kurang kesedaran sivik, tanpa khemah pun belum tentu mereka menjaga kebersihan.
12. MPPD perlu bertindak bijak dan rasional. Tidak mustahil jika larangan ini diteruskan, pantai PD akan kehilangan para pengunjung.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
12 Februari 2025
Ulasan
Catat Ulasan