Lima juta murid kembali ke sekolah



Lima juta murid kembali ke sekolah

GELAGAT murid tahun satu pada hari pertama persekolahan sesi 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 1, Kota Bharu, Kelantan, semalam. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM dan MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
17 Februari 2025, 7:00 am

PUTRAJAYA: Sejumlah 4,925,075 murid memulakan sesi persekohan baharu bagi kalendar akademik sesi 2025/2026 bermula semalam dan hari ini di seluruh negara.

Jumlah itu melibatkan seramai 2.83 juta murid sekolah rendah dan 2.09 juta murid sekolah menengah, merangkumi kese­luruhan sekitar 2.5 juta murid lelaki dan 2.4 juta murid perem­puan yang akan mengikuti pe­ngajaran dan pembelajaran (PdP) di 10,233 sekolah.

Keterujaan pasti terpancar bagi sekumpulan 447,082 murid tahun satu yang akan me­langkah ke alam persekolahan, selain 413,540 murid Tingkatan 1 memulakan sesi baharu pendidikan di peringkat mene­ngah.

Seramai 2,873 pelajar yang tercicir iaitu 883 murid sekolah rendah dan 1,990 murid sekolah menengah kembali semula men­dapat pendidikan.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Ketua Pengarah Pendi­di­kan, Azman Adnan berkata, se­banyak dua buah sekolah baharu mula beroperasi pada hari ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih dan SK Denai Alam yang akan me­lengkapkan keseluruhan 17 se­kolah baharu akan dibuka secara berperingkat sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, pembukaan sekolah baharu adalah antara usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelesaikan isu sekolah padat selain penambahan bilik darjah serta penambahbaikan fasiliti sedia ada bagi memastikan kapasiti bilik darjah lebih mencukupi.

Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), KPM diluluskan 103 projek pembinaan sekolah baharu melibatkan kawasan berkepadatan tinggi, selain 261 buah sekolah bagi projek bangunan tambahan untuk sekolah-sekolah yang mempunyai lebihan tanah.

“Sebanyak RM100 juta diluluskan kepada KPM pada tahun ini untuk melaksanakan Program Menangani Isu Sekolah Berkepadatan Tinggi meliputi penyediaan bilik darjah/ bilik khas/ kabin termasuk kemudahan atau fasiliti berkaitan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, Jumaat lalu.

Menurut Azman, KPM turut komited menaik taraf dan membangunkan semula bangunan daif termasuk fasiliti di sekolah bagi menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang selamat dan kondusif untuk digunakan semua murid dan guru.

Katanya, setakat 12 Februari lalu, sebanyak 1,197 projek diluluskan bagi pembangunan semula bangunan daif di sekolah melibatkan kos projek berjumlah RM12.47 bilion.

Jumlah itu melibatkan 390 projek di Sabah dengan kos sebanyak RM6 bilion, 408 projek di Sarawak (RM3.8 bilion) dan 399 projek di Semenanjung (RM2.5 bilon).

Dalam pada itu, Azman berkata, KPM melakukan empat intervensi kurikulum bagi mengatasi isu keciciran pembelajaran antaranya pengesanan awal literasi dan numerasi murid Tahun 1 selama tiga bulan.

Setakat ini, katanya, seramai 48,000 murid daripada 122,062 murid Tahun 1 telah menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), manakala bakinya akan diteruskan melalui fasa seterusnya.

Selain itu, beliau berkata, KPM melaksanakan Program Pemulihan Khas bagi murid Tahun 2 hingga Tahun 6 yang masih belum menguasai kemahiran asas 3M.

Melalui program itu, seramai 3.31 peratus atau 74,739 murid daripada 2.25 juta murid Tahun 2 hingga Tahun 6 belum menguasai kemahiran asas 3M bagi sesi akademik lepas yang berakhir Januari lalu.

“Kadar keciciran murid peringkat sekolah rendah dan menengah menunjukkan trend penurunan dari tahun 2021 berbanding tahun 2024 iaitu bagi sekolah rendah pada kadar 0.08 peratus (2021) menurun kepada 0.06 peratus (2024), manakala sekolah menengah pada 1.11 peratus (2021) menurun kepada 0.64 peratus (2024).

“KPM turut melaksanakan Program Outreach Murid Cicir bagi memastikan murid kembali ke sekolah dan kekal sehingga tamat tempoh persekolahan melalui ziarah ke rumah murid cicir, kaunseling individu dan pemberian bantuan munasabah.

“Pada tahun 2024, program ini berjaya mengembalikan 883 murid sekolah rendah dan 1,990 murid sekolah menengah (keseluruhan 2,873 murid) ke dalam sistem pendidikan,” katanya. – UTUSAN

Ulasan