Pemuda Amanah memang layak dialog dengan pasu bunga, kata Afnan



Berita
Pemuda Amanah memang layak dialog dengan pasu bunga, kata Afnan

Diterbitkan: Feb 16, 2025 4:56 PM
Dikemaskini: 5:00 PM

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan Pemuda Amanah tidak layak untuk mencabar sayap pemuda parti itu untuk mengadakan dialog.

Afnan berkata demikian mengulas kenyataan Pemuda Amanah, yang mengatakan sekiranya seruan itu tidak disambut Pemuda PAS, mereka akan meletakkan pasu bunga sebagai ganti.

"Parti Amanah? Itu saya tak bincang. Dengar kata, sayap pemuda mereka lebih senang berdialog dengan pasu bunga. Silakan. Itu paling layak dengan mereka,” kata Afnan dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pemuda Amanah dilapor menghantar jemputan itu kepada Pemuda PAS minggu lalu bagi mengadakan dialog berhubung tohmahan yang dilontarkan parti Islam itu kepada Amanah.


Mereka menetapkan dialog itu diadakan di Cyberjaya sama ada pada Selasa atau Rabu depan.

Semalam, ahli Sekrtariat Pemuda Amanah, Nash Nahar berkata, mereka masih menunggu keputusan Pemuda PAS.



Menurut Nash, pihaknya telah menghantar email dan surat ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, namun masih belum menerima maklum balas.

Nash berkata, sama ada Pemuda PAS sudi menyahut pelawaan mereka ataupun tidak, dialog berkenaan tetap akan diteruskan.

Malah katanya, jika tiada wakil Pemuda PAS yang berani menyahut cabaran itu, mereka akan meletakkan pasu bunga sebagai ganti.

"Terima atau tidak undangan kami, dialog ini akan tetap kami teruskan.

"Kalau bukan dengan wakil dari Dewan Pemuda PAS, kita letak pasu bunga sahaja nanti jika tiada wakil yang sudi," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda PAS Khidhir Izaidin dalam satu kenyataan berasingan berkata, mencadangkan Pemuda Amanah berdebat dengan DAP.

"Jika Pemuda Amanah benar-benar mahu berdebat demi kepentingan umat, lebih baik mereka cari lawan yang lebih relevan—seperti DAP, parti yang secara terang-terangan tidak menghormati Islam dan sering mencabar batasan umat Islam di negara ini," katanya.

Namun katanya, jika Pemuda Amanah tidak berani menegur ‘abang besar’ mereka, Pemuda PAS mencadangkan sayap parti itu meneruskan debat dengan ‘pasu bunga’.

"Atau mungkin Pemuda Amanah sendiri tidak berani menegur ‘abang besar’ mereka?

"Kami cadangkan Pemuda Amanah teruskan sahaja berdebat dengan pasu bunga. Mungkin itu lebih sesuai dengan tahap dan kelayakan mereka. Boleh masukkan dalam buku laporan mesyuarat agung," kata Khidhir.

Ulasan