
Pengilang campur beras import dengan tempatan
KHAIRUL Hisam (kanan) dan Shahril Firdaus (kiri) menunjukkan data pengenalpastian di Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi di Ibu Pejabat Mardi, Serdang. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN
27 Februari 2025, 7:00 am
SERDANG: Kira-kira 50 peratus beras putih import yang berada di pasaran negara ini telah dicampur dengan beras putih tempatan.
Perkara itu disahkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui analisis yang dilakukan ke atas 5,000 sampel kampit beras import.
Dapatan ini sekali gus menjawab persoalan ke mana hilangnya beras putih tempatan di pasaran yang sudah berlarutan sejak dua tahun lalu.
Pengarah Pusat Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Dr. Muhammad Zamharir Ahmad berkata, pihaknya membuat analisis terhadap lebih 5,000 sampel kampit beras dengan logo import yang dihantar oleh agensi penguat kuasa sejak 2023
Katanya, sampel-sampel itu diperoleh hasil serbuan Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di seluruh negara.
“Semua negeri ada hantar sampel dengan 5,000 sampel ini adalah (jenama) yang biasa kita nampak di pasaran.
“Berasaskan kesemua sampel diterima ini, sebanyak 50 peratus (beras import) dalam pasaran ada campuran (dengan beras tempatan),” katanya.
Beliau ditemui dalam majlis taklimat mengenai kaedah analisa bagi mengenal pasti beras putih tempatan dan beras putih import oleh Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI di sini.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd. Shahril Firdaus Ab. Razak berkata, analisis itu dibuat melalui teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA).
Katanya, analisis itu bermula pada 2023 sejak penubuhan Pasukan Petugas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan sehingga Mac tahun lalu.
“Teknologi Pencapjarian DNA berkenaan mampu mengesan varieti dan sumber asal beras dengan bukti saintifik.
“Setiap sampel beras dalam kampit dibahagi kepada tiga bahagian iaitu atas, tengah dan bawah yang diambil secara rawak sebelum melalui proses pengekstrakan DNA dan kawalan kualiti,” katanya.
Katanya, MARDI mempunyai profil rujukan cap jari DNA bagi kebanyakan tanaman termasuk lebih 50 varieti padi.
“Analisis penskoran dibuat menggunakan perisian GneMapper5/Typer4,” katanya.
Mohd Syahril Firdaus berkata, campuran beras dipercayai berlaku di peringkat pengilang dengan petani menanam padi menggunakan benih tempatan.
Namun, beliau menyatakan tindakan itu tidak menyalahi undang-undang memandangkan tiada akta spesifik untuk melarang pengilang mencampurkan beras putih import dengan beras putih tempatan kecuali jenis beras hancur menyukarkan penguat kuasa mengatasi isu berkenaan.
“Kami juga sedang duduk berbincang bagi sama-sama membantu pihak-pihak berkaitan lain dalam membuat peraturan baharu berhubung kelemahan ini,” ujarnya.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum ini menyatakan pihaknya giat membuat kajian terperinci untuk membenarkan penjualan beras campuran di pasaran tempatan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan tersebut turut disokong oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sebagai kaedah penyelesaian kepada masalah bekalan beras yang berlaku ketika ini.
Katanya, pihaknya akan mengadakan satu libat urus bagi membincangkan perkara tersebut dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan.
“Sekarang kita sedang buat kajian secara terperinci sama ada mahu membenarkan atau tidak jual beras campuran ini, sebab kalau tidak mahu campur, kita kena pastikan bekalan beras tempatan itu cukup.
“Masalah sekarang ini, banyak aduan dari pengilang termasuk pengilang bumiputera yang mereka tidak boleh jual beras dengan harga lebih murah,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mohamad berkata, setiap keputusan yang dibuat meletakkan pesawah sebagai keutamaan supaya golongan itu tidak menanggung kerugian dan turut memikirkan alternatif bagi mengelakkan masyarakat terbeban.
Ulasan
Catat Ulasan