Penjual gummy masih ingkar


Penjual gummy masih ingkar

25 Februari 2025 08:00am
Masa membaca: 2 minit

Gula-gula kenyal berbentuk bebola mata masih boleh didapati di platform e-dagang pada Isnin walaupun KKM telah mengarahkan untuk menghentikan penjualannya.
close
arrow_forward_ios
baca lgi

PUTRAJAYA – Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan dua platform jualan dalam talian untuk menurunkan iklan penjualan gula-gula kenyal, tinjauan mendapati produk tersebut masih boleh didapati di beberapa platform e-dagang tempatan.

Tinjauan di platform pertama dan kedua dengan menggunakan kata carian eyeball gummies, soft candy dan eye candy serta gula-gula mata memberikan ratusan hasil pencarian gula-gula itu.

Sama ada dijual oleh penjual tempatan mahupun luar negara, ia boleh didapati pada harga serendah 55 sen sebiji dengan pelbagai jenis dan bentuk.

Bagaimanapun, di platform ketiga, penyedianya dilihat mengambil tindakan drastik dengan menurunkan gula-gula kenyal berbentuk bebola mata.


Namun, dengan menggunakan kata carian sama, ia membawa kepada gula-gula kenyal pelbagai bentuk masih dijual tanpa sekatan yang pasti menarik perhatian terutamanya kanak-kanak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM telah mengeluarkan arahan kepada penyedia perkhidmatan e-dagang berkenaan untuk menurunkan iklan penjualan gula-gula kenyal tersebut.

Berdasarkan profiling, KKM mengenal pasti 86 pautan iklan di dua platform itu yang mengiklankan produk berkenaan.

Sementara itu di TERENGGANU, Jabatan Kesihatan negeri telah merampas sejumlah gummy berbentuk bebola mata yang dianggar bernilai RM1,300 di premis jualan dan borong di tiga daerah setakat ini.Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Peringkat Negeri Terengganu pada Isnin, Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong memaklumkan, rampasan di Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu itu dilakukan berikutan kesalahan melanggar syarat pelabelan yang ditetapkan.



“Pasukan penguat kuasa Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan melakukan pemeriksaan ke atas premis jualan dan borong di daerah itu dan menyita produk terbabit,” katanya.

Ulasan