Pertanian semakin diminati anak muda Terengganu



Pertanian semakin diminati anak muda Terengganu
February 20, 2025

KUALA TERENGGANU: Tanggapan bahawa golongan muda kurang berminat dalam sektor pertanian terbukti meleset apabila ramai anak muda kini memilih bidang itu sebagai kerjaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan serta Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sesi libat urus dan dialog yang diadakan di seluruh negeri menunjukkan majoriti peserta adalah golongan muda, termasuk graduan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Banyak program agihan input pertanian, penternakan dan perikanan sebahagian besar penerimanya adalah anak muda. Malah, lebih 80 peratus penternak lembu sado di negeri ini terdiri daripada golongan muda.

“Terengganu mempunyai bilangan peserta fertigasi warga Malaysia seramai 70 peserta dan majoritinya adalah anak muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Turut hadir, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, anak muda perlu memanfaatkan pelbagai insentif disediakan menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030.

Untuk rekod, PSPT 2024-2030 memberi tumpuan kepada subsektor padi dan tanaman makanan dengan sasaran meningkatkan kadar Sara Diri (SSR) beras negeri daripada 43.84 peratus kepada 71 peratus menjelang tahun 2030.

Pelan ini juga menyasarkan peningkatan pengeluaran padi daripada 45,000 metrik tan setahun kepada 100,000 metrik tan setahun, selain menaikkan purata hasil pengeluaran padi negeri daripada 3.7 metrik tan sehektar kepada 5.0 metrik tan sehektar. – HARAKAHDAILY 20/2/2025

Ulasan