Pesawah kena juga berubah
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
17 Februari 2025, 7:15 am
Kerajaan mengumumkan kenaikan harga lantai padi kepada RM1,500 berbanding RM1,300 sebelum ini. Pengumuman kerajaan itu mendapat reaksi bercampur. Ada pesawah menyambut baik pengumuman itu kerana ia dapat membantu meningkatkan pendapatan.
Ada juga yang menyatakan kekecewaan kerana harga lantai baru padi itu dikatakan tidak cukup menanggung kos input tanaman itu. Mereka mendakwa jika mengambil kira kos input, harga lantai padi seharusnya RM1,800.
Terdapat dua perbahasan oleh kumpulan berbeza. Pesawah yang mencatatkan pengeluaran padi besar kurang bising. Mereka yang mengerjakan sawah saiz kecil lebih kecewa. Suka atau tidak, pertanian sebenarnya perniagaan. Saiz penting. Syarikat runcit seperti Mr DIY, SpeedMart atau KK Mart tidak akan berjaya hanya dengan satu atau dua cawangan. Begitu juga pesawah atau petani semua jenis komoditi. Saiz penting. Padi adalah komoditi dan seperti mana-mana komoditi, harga bergerak berdasarkan permintaan dunia. Mana-mana petani harus bersedia menerima kenaikan mahupun penurunan.
Isu lebih kritikal ialah melihat industri padi itu sendiri. Kepada pesawah, rungutan sama – tidak menjana pendapatan secukupnya, terdedah kepada kos tinggi input tanaman, harga rendah, kurang bantuan selain kurang air.
Jadi apa harus dilakukan? Di China, pesawah padi berdepan masalah sama. Harga tidak stabil tetapi kos sama. Apa mereka lakukan? Di beberapa kawasan, pesawah menggabungkan penanaman padi dengan penternakan “crayfish” iaitu udang dari keluarga “lobster”. Udang ini mendapat harga tinggi. Hasil buangan crayfish yang dibela dalam sawah menjadi baja. Dalam satu rencana, pesawah di China mendapat pendapatan lebih tinggi daripada penternakan “crayfish” di sawah berbanding padi. Di Louisiana Amerika Syarikat, pesawah sudah membela crayfish kerana mengetahui harga padi tidak tinggi sentiasa.
Di Malaysia, ada pesawah yang bendang terlalu kecil. Jika dicampurkan semua input padi, sukar untuk mereka meraih pendapatan tinggi. Di Jepun, seorang pesawah dengan saiz bendang kurang dua ekar menggunakan teknologi untuk menanam padi bermutu tinggi. Padi itu ditanam menggunakan mesin. Padi yang masak dituai menggunakan mesin sama tidak besar daripada “buggy golf”.
Dia memproses padi itu dan membungkusnya atas jenama sendiri. Padinya dieksport ke Amerika Syarikat dan meraih pendapatan tinggi walaupun saiz bendang yang kecil.
Ada juga aduan kekurangan air menggagalkan penanaman padi lima kali dalam dua tahun. Bukankah Malaysia berada berhampiran garis khatulistiwa? Kawasan tropika yang mendapat taburan hujan tertinggi di dunia. Jika padang pasir Arab boleh dihijaukan, kenapa air menjadi isu besar. Pesawah di Kedah masih bergantung kepada terusan Wan Mat Saman yang dibina pada 1885 seperti dipelajari dalam buku ilmu alam ketika kecil? Pemilik-pemilik dusun di kawasan berbungkit berkongsi atau “tong tong wang” untuk bina telaga pam. Kos dikongsi dan begitu juga air. Jadi kos imput tidak ditanggung oleh seorang pemilik tetapi dibahagi lima. Itu perniagaan.
Terdapat juga isu tanah dibahagikan selepas kematian pemiliknya. Ia menjadi terlalu kecil untuk menjadi produktif. Di Eropah, hanya satu anak akan mewarisi ratusan ekar tanah ladang. Itu peraturan mendapat subsidi besar kerajaan.
Pesawah atau petani boleh merungut mengenai kesusahan ditanggung. Tanya mana-mana ahli perniagaan yang tidak berdepan cabaran. Ia sama. Untuk pesawah berjaya, mereka mesti berubah kerana cara lama hanya menghasilkan masalah lama seperti juga orang yang mengata orang lain dari belakang, tempatnya kekal di belakang. – UTUSAN
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.
Ulasan
Catat Ulasan