Petronas, EI bekerjasama untuk peralihan tenaga di Asia



Petronas, EI bekerjasama untuk peralihan tenaga di Asia
Oleh NUR NAZLINA NADZARI
28 Februari 2025, 7:20 am

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menjalin kerjasama dengan Energy Institute (EI), menjadi syarikat pertama yang beribu pejabat di Asia Tenggara menyertai badan keahlian profesional bertauliah yang berpangkalan di United Kingdom (UK) sebagai rakan kongsi teknikal.

Bersama-sama, mereka komited untuk mencipta landskap tenaga yang lebih termaklum, berdaya tahan dan cekap di seluruh Asia dan perkongsian itu menekankan komitmen Petronas untuk memajukan peralihan tenaga di Asia.

Kerjasama tersebut adalah kunci dalam memacu kemajuan dalam mengkomersialkan teknologi pengurangan pelepasan, pembangunan infrastruktur, pembiayaan peralihan dan peningkatan kemahiran untuk peralihan tenaga yang inklusif.

Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, selaras dengan usaha Petronas untuk memupuk ekosistem inovasi berkesan yang menyokong cita-cita sifar bersih di Asia, kerjasama dengan EI menyatukan kepakaran, sumber dan semangat kami untuk memangkin kemajuan ke arah masa depan tenaga yang mampan dan berdaya tahan yang diperlukan dunia.

“Bekerjasama dengan EI mengenai peralihan tenaga, Petronas mengesahkan komitmennya untuk memacu perubahan bermakna dalam industri. Mencapai sifar bersih di Asia adalah penting untuk matlamat global.

“Melalui perkongsian bermatlamat ini, kami menyasarkan untuk memperkasakan sektor tenaga di Asia dengan pengetahuan dan rangkaian yang diperlukan untuk peralihan yang saksama dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.


Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian perkongsian semasa majlis menandatangani perjanjian di luar acara Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) di London baru-baru ini.

Sebagai rakan kongsi teknikal, Petronas akan menyumbang untuk membentuk program masa depan melalui jawatan dalam Jawatankuasa Penasihat Saintifik dan Teknikal EI (EI-STAC), membolehkan syarikat itu menetapkan piawaian industri dan menjalin hubungan dengan organisasi terkemuka lain.

“Perkongsian itu akan memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama iaitu menggalakkan penyahkarbonan dan kecemerlangan operasi melalui penyelesaian yang inovatif dan membolehkan pembuatan keputusan termaklum dengan nasihat pakar tentang dasar dan impak masyarakat.

“Turut diberi tumpuan adalahmemupuk generasi profesional tenaga akan datang untuk memastikan sektor ini berkembang maju di tengah-tengah perubahan pesat,” jelasnya.-UTUSAN

Ulasan