
Ratusan tentera Russia cedera dirawat di Korea Utara
TRAK tentera Russia memasuki pangkalan tentera Syria yang disewa Russia di Hmeimim, wilayah Latakian di barat Syria, pada 29 Disember 2024.- AFP
Oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
13 Februari 2025, 11:01 am
MOSCOW: Ratusan tentera Russia yang cedera dalam peperangan di Ukraine menerima rawatan di kemudahan perubatan Korea Utara, sekali gus mendedahkan sokongan mendalam Pyongyang terhadap Moscow.
Duta Besar Moscow ke Pyongyang, Alexander Matsegora berkata, anggota tentera Russia yang tercedera semasa peperangan kini menjalani pemulihan di sanatorium dan hospital Korea Utara.
“Satu contoh jelas hubungan persaudaraan antara Russia dan Korea Utara adalah pemulihan ratusan tentera yang cedera di sanatorium dan hospital Korea,” katanya dalam wawancara bersama media kerajaan, Rossiyskaya Gazeta.
Kenyataan itu mencerminkan hubungan dua hala yang semakin erat antara Moscow dan Pyongyang, di mana menurut penganalisis lebih kukuh sejak era Perang Dingin.
Matsegora turut mendedahkan rawatan yang diberikan kepada tentera Russia di Korea Utara adalah percuma.
Bagaimanapun tahap penjagaan yang mungkin disediakan untuk tentera Russia dalam infrastruktur kesihatan Korea Utara yang serba kekurangan menjadi persoalan.
Ini berikutan, beberapa doktor yang melarikan diri dari negara itu sering melaporkan keadaan kerja teruk dan kekurangan ubat-ubatan serta peralatan asas kesihatan.
Menurut pegawai Ukraine dan laporan risikan Barat, Korea Utara menghantar 12,000 askar ke Russia selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian pertahanan pada Jun, yang menjamin sokongan jika satu pihak diserang.
Sekitar 4,000 askar Korea Utara dilaporkan terbunuh atau cedera selepas dikerahkan ke Kursk sejak November lalu, bagi membantu menangkis serangan Ukraine di kawasan sempadan selatan Russia.
Dalam masa sama, Russia juga dilaporkan menerima ribuan kontena penghantaran peluru dan bahan berkaitan dari Korea Utara, bahkan Moscow menggunakan peluru berpandu buatan Pyongyang dalam serangan terhadap Ukraine, menurut pegawai Amerika Syarikat (AS).– CNN
Ulasan
Catat Ulasan