
Rebut keberkatan Ramadan, elak termasuk dalam golongan 'celaka'
Oleh Dr Muhammad Safwan Harun - Februari 23, 2025 @ 9:10am
TINGGAL kira-kira seminggu sahaja lagi umat Islam bakal menyambut bulan mulia iaitu Ramadan. Ia menjadi bulan telah digambarkan dengan pelbagai perumpamaan seperti penuh dengan keberkatan, bulan latihan kepada umat Islam (madrasah) dan bulan umat Islam beriadah.
Bulan ini juga dijamin dengan pelbagai bentuk kelebihan oleh Allah SWT seperti digandakan pahala bagi setiap amalan soleh, dibukakan pintu rahmat, ditutup pintu neraka, doa dimakbulkan khususnya pada waktu sahur dan berbuka.
Ringkasnya, Ramadan bakal menjelma membawa 1,001 macam kebaikan. Namun persoalan patut berlegar pada minda kita adalah bagaimana persediaan untuk menghadapinya.
Allah SWT berfirman bermaksud: "Allah menciptakan kamu dalam keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) selepas keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) selepas kuat itu lemah kembali dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa". (Surah ar-Rum, ayat 54)
Susunan alami itu juga dapat diperhatikan dalam aturan Allah SWT yang lain. Jika melihat kepada susunan bulan dalam Islam, sebelum kehadiran Ramadan, terdapat dua bulan mulia iaitu Rejab dan Syaaban.
Kedua-dua bulan itu menjadi petanda Ramadan bakal menjelma dan memiliki kemuliaan seperti Rejab termasuk salah satu 'bulan haram', bulan berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, bulan digalakkan berpuasa pada hari tertentu dan beberapa kelebihan lain.
Syaaban pula bulan dicintai Rasulullah SAW, bulan diangkat amalan manusia kepada Allah SWT, terdapat satu malam yang penuh keberkatan dinamakan sebagai Nisfu Syaaban, pintu keampunan dan rahmat dibuka luas, digalakkan berpuasa pada hari tertentu pada bulan ini.
Dengan kehadiran Ramadan selepas Rejab dan Syaaban, puasa yang sebelum ini adalah sunat, kini menjadi wajib selama sebulan. Ramadan membawakan 1,001 rahmat kepada mereka yang benar-benar mendambakannya.
Dari satu sudut lebih mendalam, Ramadan memastikan seluruh masa bagi orang beriman beroleh rahmat dan keampunan Allah SWT. Namun begitu, ramai dikatakan sebagai tidak memperoleh apa-apa melainkan lapar dan dahaga sebagaimana hadis Baginda Rasulullah SAW.
"Banyak orang berpuasa tetapi tidak mendapatkan apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan banyak orang bangun malam (beribadah) tetapi tidak mendapatkan apa-apa daripada berdirinya kecuali letih". (HR Ibnu Majah, Ahmad, dan al-Hakim)
Lebih malang jika kehadiran Ramadan memberikan status 'celaka' kepada orang yang tidak beroleh keampunan sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain.
Rasulullah bersabda bermaksud: "Jibril datang kepadaku dan berkata: Wahai Muhammad, celakalah seseorang apabila disebut namamu, dia tidak berselawat kepadamu. Maka aku berkata: Amin. Kemudian Jibril berkata: Celakalah seseorang tiba pada Ramadan, namun dosanya tidak diampuni. Maka aku berkata: Amin. Kemudian Jibril berkata lagi: Celakalah seseorang mendapati kedua orang tuanya atau salah seorang daripada mereka dalam keadaan tua, tetapi (tidak berbakti kepada mereka) dia tidak memasuki syurga. Maka Aku berkata: Amin." (HR Ahmad, Tirmizi, dan al-Hakim)
Perlu ditegaskan, hal ini bukanlah satu bentuk penghinaan kepada sesiapa, namun ia adalah satu bentuk peringatan supaya umat Islam benar-benar berusaha melakukan ibadah pada Ramadan nanti.
Malah, bukan suatu yang pelik apabila agama mendatangkan peringatan pada keadaan tertentu kerana Baginda Rasulullah SAW sememangnya diutuskan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi ingatan.
Sebagai rumusan, kita sering mendengar keberkatan yang ada pada Ramadan. Keberkatan ini terkait dengan ruang lingkup masa. Bagi memahaminya, terdapat dua bentuk lagi keberkatan terdiri daripada keberkatan pada orang dan tempat.
Misalnya, ibu bapa, orang soleh, alim dan wali Allah SWT adalah antara golongan mempunyai kelebihan serta keberkatan pada mereka. Keberkatan tempat pula antaranya adalah bumi Makkah dan Madinah, Raudah di Masjid Nabawi, kawasan sekitar Kaabah.
Dua bentuk keberkatan dinyatakan ini mungkin jarang dimiliki semua orang kerana keterbatasan tertentu seperti lingkungan masyarakat atau halangan kewangan. Bahasa mudahnya, tidak semua berpeluang dapat bersua dengan orang soleh dan atau bermusafir ke Tanah Haram.
Oleh itu, umat Islam perlu bersedia dari segi jasmani, rohani dan minda bagi menyambut kehadiran Ramadan tahun ini serta mengatur amal soleh berkualiti sepanjang bulan itu. Awasi diri daripada sebarang bentuk kerugian sebaliknya berusaha merebut 'lambakan' rahmat dan kebaikan Allah SWT pada bulan mulia ini.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Ulasan
Catat Ulasan